Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JAN – Ibadah bertadarus Al-Quran sangat dituntut kepada semua umat Islam selain menjadi kewajipan untuk mencari keberkatan, menghayati dan mengambil iktibar dari isi yang terkandung di dalam kitab suci Al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan seharian.
Jemaah Subuh Tadarus Al-Quran Masjid Hassanal Bolkiah Kampung Mentiri hari ini telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sebagai menzahirkan rasa syukur selepas melengkapkan bacaan 30 juzuk.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan disusuli dengan bacaan surah-surah ayat lazim bermula dari Surah Ad-Dhuha sehingga Surah An-Nas.
Bacaan dipimpin oleh Awang Haji Annuar bin Penghulu Haji Ibrahim yang juga membacakan takhtim dan seterusnya Doa Khatam serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Majlis yang disertai oleh Imam Masjid Hassanal Bolkiah Kampung Mentiri, Pengiran Sallehin Pengiran Haji Tejuddin itu turut diserikan dengan Dikir Marhaban oleh para peserta khatam berkenaan.
Peserta khatam merupakan ahli jemaah di masjid berkenaan yang mengadakan ibadah bertadarus setiap hari selepas sembahyang menunaikan Fardu Subuh yang juga berhasrat untuk mengimarahkan lagi masjid berkenaan.