Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 25 Jun – Sebelum Ramadan berakhir, ahli Jawatankuasa Takmir Balai Ibadat Hajah Aminah Kampung Long Mayan telah mengadakan majlis khatam Al-Quran yang berlangsung di balai ibadat berkenaan.
Seramai 23 orang peserta terdiri daripada jemaah dan belia-belia Balai Ibadat Hajah Aminah telah diraikan di majlis berkenaan yang mana para peserta tersebut telahpun khatam membaca Al-Quran secara bertadarus sepanjang bulan Ramadan yang mulia.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Pegawai Jabatan Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong, Haji Masri bin Haji Mohammed.
Sejurus majlis khatam Al-Quran, majlis turut menyaksikan penyampaian derma kepada tujuh orang anak yatim yang tinggal di sekitar Kampung Long Mayan.

Turut hadir bagi menyampaikan sumbangan tersebut ialah Ketua Kampung Long Mayan, Awang Mohd Eddy Suffian bin Abdullah.
Di samping menerima sumbangan wang daripada ahli-ahli takmir dan orang persendirian, anak-anak yatim juga menerima satu karton minuman bagi Sambutan Hari Raya Aidilfitri setiap seorang, sumbangan Pesatuan Saudara-saudara Baru Daerah Tutong (PESATU) menerusi Projek Ehsan Ramadan.
Adapun tujuan majlis tersebut diadakan adalah untuk menyemarakkan lagi bulan Ramadan yang mulia ini di samping dapat menggalakkan para jemaah dan belia-belia Kampung Long Mayan membaca Al-Quran dalam kehidupan mereka selain dapat mencari ganjaran pahala di bulan Ramadan yang berkat.