BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – Sekolah Menengah (SM) Berakas baru-baru ini mengadakan dua majlis berasingan sempena sambutan Jubli Emas sekolah tersebut di dewan serba guna sekolah.
Pada sambutan doa kesyukuran, sekolah telah mengadakan Majlis Membaca Yasin, Solat Maghrib, Solat Hajat, Bacaan Tahlil, Solat Isyak dan Doa Kesyukuran.
Selain bagi meraikan sambutan Jubli Emas, ia juga bertujuan mengeratkan silaturahim antara para guru, kakitangan dan mantan guru serta alumni yang pernah menuntut di SM Berakas dari tahun 1971 sehingga 2021. Bacaan tahlil adalah khusus bagi warga sekolah yang telah kembali ke rahmatullah.
Majlis dihadiri oleh tetamu kehormat, Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan di Jabatan Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan, Awang Abdullah bin Awang Ismail, pengetua dan warga sekolah serta jemputan.
Dalam majlis berasingan pada 23 Januari pula, majlis khatam turut diadakan, disertai seramai 74 penuntut Tahun 11 bagi 2020.
Majlis turut meraikan kejayaan penuntut khatam 30 juz Al-Quran dan meniatkan pembacaan untuk kejayaan penuntut Peperiksaan ‘O’ Level. Ia diserikan dengan kehadiran
Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan, Kementerian Pendidikan, Awang Julaihi bin Mohamat yang turut mengetuai bacaan Surah Al-Fatihah dan memulakan acara Majlis Khatam Al-Quran.
