Oleh Daniel Lim
BELAIT, 29 APRIL – Lebih 150 orang pelajar dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Jefri Bolkiah (JBC) telah menghadiri majlis khatam Al-Quran yang diadakan bagi menyemarakkan bulan suci Ramadan.
Diadakan di dewan Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait, majlis berkenaan dianjurkan oleh Unit Pengetahuan Ugama Islam institut berkenaan dan pada tahun ini, ia juga merupakan satu peluang unik untuk mengalu-alukan seorang saudara baharu.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Ugama Daerah Belait, Haji Haslan bin Haji Shahbudin yang dialu-alukan oleh Ketua Pegawai Ugama di IBTE JBC, Hajah Siti Faridah @Nurhani binti Haji Ahmad dan Pengurus Akademik di IBTE JBC, Dayang Rosmah binti Salman.
Pada majlis itu, 30 pelajar yang hadir turut menyertai bacaan Al-Quran.
Selepas majlis khatam Al-Quran, acara juga menyaksikan penyampaian cenderahati kepada seorang saudara baharu, Dayang Nur Vivian binti Abdullah yang merupakan pelajar HNTec dalam Kejuruteraan Peralatan dan Kawalan yang telah memeluk agama Islam pada 23 Januari lalu.
Cenderahati telah disampaikan oleh tetamu kehormat yang kemudiannya turut menyampaikan sijil-sijil penghargaan kepada imam dari pelbagai masjid dan balai ibadat di seluruh Belait dan para pelajar yang dipilih sebagai bilal dan imam bagi sembahyang fardu Zuhur sepanjang Ramadan ini.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil kepada para pelajar yang menyertai majlis khatam Al-Quran sempena Hari Kebangsaan anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada Mac lalu.

