Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Seramai 43 orang terdiri daripada ahli jawatankuasa takmir masjid, Muslimah dan jemaah Masjid Kampung Masin telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sempena penutup tadarus Al-Quran bagi 1446 Hijrah/2025 Masihi, bertempat di Masjid Kampung Masin, baru-baru ini.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Jeffry bin Haji Metassim. Acara kemudian diikuti dengan majlis khatam yang dikepalai oleh Pelapis Bilal, Haji Abdul Wahab bin Haji Abdullah.
Manakala bacaan Takhtim telah diketuai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid (Perantis), Awang Abdul Azim bin Haji Mohd Azman dan Doa Khatam pula dibacakan oleh Awang Jeffry.
Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian derma kepada 30 anak-anak yatim Kampung Masin dan Bebatik Masin serta ceramah khas sempena memperingati Nuzul Al-Quran bagi 1446 Hijrah/2025 Masihi.
Majlis turut diserikan dengan ceramah khas yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Jabatanarah Agama, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Awang Mohd Rif’at Atiyah bin Haji Anwari. Dalam ceramah berkenaan, beliau membahaskan tajuk Akal Sihat Dengan Al-Quran dan cara-cara mencintai dan mendampingi Al-Quran.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada penceramah undangan dan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan yang dibacakan oleh Bilal Masjid Kampung Masin, Awang Mohd Khairuddin bin Haji Zaidin.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah Ketua Kampung Masin, Awang Mohd Mu’az Hafizuddin bin Moksin.
Dengan adanya majlis berkenaan, ia diharap dapat membudayakan pembacaan Al-Quran dalam kalangan jemaah masjid selaras dengan hasrat negara sebagai Negara Zikir di samping menggalakkan penglibatan jemaah masjid dalam aktiviti keagamaan yang dianjurkan oleh pihak ahli jawatankuasa masjid tersebut.