Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Seramai 140 orang Muslimah Persatuan Halaqah Cinta Al-Quran Brunei (PHCQ) dari Daerah Brunei dan Muara, Tutong dan Belait menghadiri Majlis Khatam Al-Quran ke-11 di Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar, hari ini.
Ia diadakan sempena ulang tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76 tahun dan Sambutan Hari Guru ke-32.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi, Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani yang juga memimpin bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan acara.
Majlis diikuti dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Salawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Hajah Khaidah binti Haji Salat, manakala Doa Khatam dibacakan oleh Hajah Hilma, Doa Selamat dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Hajah Norsinah binti Haji Hussin.
