Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Jurai Keturunan Ahmad (JKA) tidak ketinggalan meraikan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77 dengan mengadakan majlis khatam Al-Quran.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pegiran Anak Damit, Kampung Madang/ Manggis tersebut ialah Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Jurulateh Adat Istiadat Diraja Dato Paduka Haji Mashhor bin Haji Awang Metahir dan isteri.
Seramai 98 orang peserta telah menyertai majlis berkenaan yang dianjurkan buat kali kedua oleh ahli keluarga JKA.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dikepalai oleh pengerusi majlis, Haji Awang Abdul Hakim bin Haji Mohd Yassin.
Bacaan khatam Al-Quran beramai-ramai yang bermula dari Surah Ad-Dhuha sehingga Surah An-Nas telah dipimpin oleh Awang Ahmad Hazazi bin Haji Jamil yang juga memimpin bacaan Takhtim dan seterusnya membaca Doa Khatam.
Majlis diserikan dengan laungan Dikir Marhaban yang dikepalai oleh Haji Awang Jasni bin Haji Awang Abdul Latif manakala Selawat Tafrijiyyah dan Sayyidul Istighfar diketuai oleh Haji Mohd Jamil bin Haji Abdul Ghani yang juga membacakan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.