Majlis khatam peserta tadarus Kg Batu Marang

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mei – Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Batu Marang kelmarin, telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi peserta tadarus Al-Quran bulan Ramadan 1440H / 2019M.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri, penasihat-penasihat jawatankuasa takmir terdiri iaitu Pengarah Haji Abdul Rahman bin Haji Naim yang juga penghulu Mukim Mentiri dan Ketua Kampung Batu Marang, Haji Maidin bin Tarip dan Pengiran Haji Merali bin Pengiran Ismail.

Majlis dimulai dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin dan diikuti dengan bacaan ayat-ayat lazim daripada Surah Ad-Duha hingga Al Lahab yang dipimpin oleh Ketua Imam Masjid Kampung Batu Marang, Awang Saiful Rizal bin Haji Abdul Ghafar.

Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan takhtim dan Doa Khatam oleh Imam Masjid Kampung Batu Marang, Awang Muhammad Sharine Hadiman bin Sahari.

Majlis juga diserikan dengan persembahan Dikir Marhaban yang dibawakan oleh jemaah masjid dan penduduk Kampung Batu Marang.

Seterusnya, majlis menyaksikan penyampaian surat lantikan kepada ahli-ahli jawatankuasa takmir yang baharu bagi sesi 2019-2021 dan penyampaian sijil penghargaan kepada para guru pentasmik Al-Quran yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama (lima dari kiri) semasa menghadiri majlis khatam peserta Kampung Batu marang.