Oleh Daniel Lim
BELAIT, 29 APRIL – Bagi menyemarakkan bagi bulan Ramadan ini, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama pelbagai pihak terutamanya belia-belia dan masyarakat telah menjalankan Program Kembara Amal Ramadan ke seluruh negara, hari ini.
Di Daerah Belait, program bermula di dewan Masjid Sungai Liang yang menyaksikan Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar) di KKBS, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan hadir selaku tetamu kehormat.
Terdahulu sebelum itu, tetamu kehormat turut menyertai majlis khatam Al-Quran yang diadakan oleh Jabatan Belia dan Sukan Daerah Belait.
Antara jemputan yang turut menyertai majlis itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Penghulu Mukim Liang, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Mumin; Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Mohammad Yassin bin Haji Ahmed; Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Awang Suip bin Haji Abdul Wahab serta pegawai-pegawai kanan dan kakitangan di KKBS.
Di samping itu, Pengiran Haji Mohd Hasnan juga mengambil kesempatan menyampaikan sumbangan kepada masjid berkenaan sebagai sebahagian daripada program yang diadakan.
Selepas sembahyang fardu Zuhur berjemaah, rombongan kemudian dibahagikan kepada dua kumpulan untuk mengunjungi kediaman-kediaman penerima untuk menyampaikan sumbangan.
Pengiran Haji Mohd Hasnan mengunjungi tiga kediaman yang terletak di kawasan pedalaman Daerah Belait, di Mukim Bukit Sawat dan Merangking, di mana beliau menyampaikan sumbangan berupa barang keperluan kepada para penerima.
Sementara itu, Awang Suip juga mengunjungi tiga kediaman di Mukim Liang dan kawasan Lumut untuk menyerahkan sumbangan.
Program serupa juga telah diadakan di tiga daerah lain dan dengan kejayaan program berkenaan, KKBS berharap bahawa program berkenaan akan dapat membantu mengeratkan hubungan antara belia-belia dan masyarakat sekali gus membantu mempromosikan lagi semangat kesukarelawanan yang membawa lebih banyak makna dalam bulan Ramadan ini.
Di samping itu, sumbangan-sumbangan yang disampaikan itu juga dapat membantu mengurangkan beban keluarga yang kurang bernasib baik terutamanya dalam menjalani bulan puasa dan persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
