Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 1 Nov – Seramai 182 orang pelajar lagi dari Darjah Pra hingga Darjah 6 dari beberapa buah sekolah agama Daerah Tutong yang menyertai Program Satu Minggu Satu Juzuk telah diraikan di Majlis Khatam Al-Quran buat hari kedua hari ini di Dewan Mahad Islam Brunei.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong yang juga selaku Penghulu Mukim Tanjong Maya.
Majlis yang diadakan buat tahun kedua itu menyasarkan murid-murid yang fasih dan lancar serta mampu mengkhatamkan Al-Quran dan menerusi program itu ia dihasratkan agar dapat memantapkan lagi pembacaan Al-Quran para pelajar di sekolah agama dan ke arah melahirkan generasi celik Al-Quran.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/Page-7-2A_021117.jpg)
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/Page-7-2B_021117.jpg)
Selain itu, program itu juga dapat memberi peluang dalam meningkatkan lagi mutu bacaan murid yang sememangnya mempunyai potensi pembacaan Al-Quran menerusi sistem pembelajaran Al-Quran berkategori yang dijalankan di sekolah-sekolah agama dan juga dapat meningkatkan jumlah murid-murid yang khatam Al-Quran di bawah umur 10 tahun.
Majlis Khatam Al-Quran ini diselenggarakan oleh ahli Jawatankuasa Guru-guru Ugama Daerah Tutong dengan gabungan Pejabat Pengajian Islam Tutong dengan melibatkan 29 buah sekolah-sekolah agama di Daerah Tutong.
Sekolah-sekolah yang menyertai Majlis Khatam Al-Quran petang tadi ialah Sekolah Ugama (SU) Tutong Kem, SU Keriam, SU Binturan, SU Telisai, SU Lamunin, SU Danau, Sekolah DSP Ukong, SU Penapar, SU Panchong, SU Benutan, SU Lubok Pulau, SU Kampung Bukit dan SU Tanjong Maya.