Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MEI – Sekolah Ugama Antarabangsa Islamik Miftah An-Nur menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran petang tadi bagi lima orang pelajar Darjah 6 sekolah berkenaan.
Majlis yang berlangsung di Surau Sekolah Antarabangsa Islamik Miftah An-Nur itu merupakan kali pertama dikendalikan oleh sekolah berkenaan dan akan dijadikan sebagai acara tahunan dalam kalendar aktiviti sekolah.
Hadir selaku tetamu khas majlis ialah Ketua Bahagian Pendidikan Khas Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Muhammad Hadi bin Bukhari @ Kuma seterusnya memulakan acara dengan bacaan Surah Al-Fatihah.
Majlis diteruskan dengan bacaan surah-surah Al-Quran oleh para peserta khatam, disusuli bacaan Doa Khatam oleh Awang Muhammed Amri Hafiy bin Mohammed Azri.
Sijil penyertaan turut disampaikan kepada para peserta khatam oleh tetamu khas, sebelum majlis ditutup dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Awang Ahmad Rafigi bin Awang Mahadi.
Majlis ini bukan sahaja bertujuan meraikan para pelajar yang berjaya mengkhatamkan Al-Quran, malah sebagai satu ibadah yang penuh dengan rahmat, keberkatan dan ganjaran pahala daripada Allah SWT.
Di samping melahirkan generasi celik Al-Quran, majlis itu juga diharap dapat menyemai budaya pembacaan Al-Quran secara berterusan dalam kalangan pelajar serta memperkukuh syiar Islam di negara ini.