Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Seramai 103 murid Darjah VI Sekolah Ugama (SU) Lambak Kanan sesi petang yang terdiri daripada 53 murid lelaki dan 50 murid perempuan telah diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Dewan Serbaguna Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Kampung Serusop, petang kelmarin.
Hadir selaku tetamu khas majlis ialah Pemangku Penolong Pengarah (Profesional), Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Johar bin Haji Jumat yang memulakan acara dengan memimpin bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai.

Majlis berkenaan merupakan satu amalan signifikan dalam sistem pendidikan ugama yang bukan sahaja mencerminkan kejayaan para murid dalam menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran malah menjadi bentuk pengiktirafan terhadap usaha gigih mereka dalam mendalami dan menghayati ajaran Islam.
Majlis diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam diikuti dengan bacaan Takhtim dan Doa Khatam yang dipimpin oleh Awang Mohammad Arsyad Rayyan bin Md Arafin.
Acara turut diserikan dengan persembahan dikir serta penyampaian sijil kepada para peserta oleh tetamu khas majlis. Acara diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Awang Mohd Ariffin bin Haji Saili.
Majlis Khatam Al-Quran yang dianjurkan di sekolah-sekolah agama merupakan usaha berterusan dalam menyokong hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi celik Al-Quran, yang menjadikan pembacaan kitab suci sebagai amalan dalam kehidupan beragama.
Majlis seumpama ini merupakan satu amalan signifikan dalam sistem pendidikan ugama di negara ini, yang bukan sahaja mencerminkan kejayaan para murid dalam menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran, bahkan menjadi bentuk pengiktirafan terhadap usaha gigih mereka dalam mendalami dan menghayati ajaran Islam.
Semua di atas: Antara suasana semasa majlis khatam berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN KHEU

