Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 27 OKT – Seramai 20 peserta khatam yang terdiri daripada pelajar dewasa dari Kelas Tilawah Al-Quran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Perpustakaan Kampung Pandan, telah diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan hari ini di perpustakaan tersebut.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Ketua Bahagian Perpustakaan, Dayang Emi Suryaney binti Haji Hipny.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh pengajar kelas berkenaan, Awang Muhammad Mustaqim bin Haji Muhd Mustafa, diikuti dengan bacaan Doa Khatam beramai-ramai oleh para peserta.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan Dikir Marhaban yang diiringi dengan taburan bunga rampai oleh tetamu kehormat dan para hadirin kepada para peserta khatam.
Pada majlis tersebut sijil penyertaan telah disampaikan oleh tetamu kehormat kepada peserta khatam dan sebagai tanda penghargaan pengajar kelas berkenaan turut menyerahkan cenderamata kepada tetamu kehormat.
Pihak perpustakaan menjelaskan bahawa majlis tersebut merupakan kali keempat diadakan bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian para peserta dalam menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran, di samping menggalakkan masyarakat untuk menghayati ajaran yang terdapat dalam Al-Quran.
Awang Muhammad Mustaqim, turut menekankan kelas berkenaan sering diadakan di perpustakaan, pada Isnin hingga Khamis, dari pukul 8:30 hingga 10:30 pagi, sambil menambah beliau menggalakkan mereka yang ingin mengembangkan lagi pengetahuan untuk hadir dan menyertai kelas-kelas tersebut.









