Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Seramai 89 pelajar Tahun 11 Sekolah Menengah (SM) Sultan Muhammad Jamalul Alam (SMJA) terdiri daripada 52 lelaki dan 37 perempuan telah diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Dewan Serbaguna Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Kampung Serusop, kelmarin.
Hadir pada majlis itu ialah Ketua Unit Sekolah Menengah dan Pendidikan Teknikal, Bahagian Sekolah Umum (Pendidikan Islam), Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Saleh bin Haji Nasir.
Majlis itu merupakan aktiviti tahunan SM SMJA yang lazimnya diadakan selepas pelajar-pelajar menduduki Peperiksaan BC GCSE Peringkat O yang dikendalikan oleh Jabatan Pengetahuan Ugama Islam dan Bahasa Arab berserta guru-guru dan kakitangan SM SMJA.
Majlis itu juga melibatkan beberapa pelajar dari Tahun 9 dan 10 yang ditugaskan selaku juru acara, pengawas slaid, pembaca Dikir Marhaban dan bacaan takhtim.
Majlis tersebut juga merupakan kesinambungan daripada pelajaran Al-Quran yang dijalankan satu period setiap minggu bermula pada Tahun 9, supaya pelajar-pelajar dapat mendampingi Al-Quran, menerapkan pembacaan Al-Quran setiap hari dan memupuk minat mereka untuk mendalami Al-Quran.
Seterusnya bersempena Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia, Doa Kesyukuran dibacakan oleh Awang Abdul Adi bin Haji Abdul Rahman, semoga kanak-kanak di negara ini terhindar daripada segala penyakit, bala dan unsur-unsur negatif, fitnah dan masalah sosial daripada dipengaruhi oleh kemajuan teknologi dan diteruskan juga memohon doa kesejahteraan dan keselamatan rakyat Palestin.




