Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Sekolah Ugama Lumapas, Kawasan Brunei IV, baru-baru ini, telah mengadakan majlis khatam Al-Quran bagi seramai 54 orang murid Darjah 6 sekolah yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Ketua Kampung Lumapas ‘B’, Awang Mohamad Ali bin Tanjong yang sekali gus menyampaikan sijil khatam dan mendahului sesi merenjis minyak wangi kepada para peserta khatam di akhir majlis.
Majlis khatam dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan diikuti dengan bacaan surah-surah lazim bermula daripada Surah Ad-Duha sehingga Surah Al-Masad oleh para peserta khatam.
Sementara itu, Doa Khatam pula telah dibacakan oleh salah seorang wakil peserta, Awang Mohd Hanaffi bin Haji Alias. Majlis turut dimeriahkan dengan alunan dikir dan takhtim yang dibawakan oleh para pelajar sekolah agama berkenaan.
Majlis penuh keberkatan berkenaan merupakan aktiviti tahunan sekolah bagi menepati hasrat kerajaan dalam melahirkan generasi celik Al-Quran yang sekali gus demi memohon keberkatan sebelum menduduki Peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU) tidak lama lagi.
Ia juga antara lain untuk memupuk semangat bagi murid-murid agar sentiasa mencintai dan menghayati Al-Quran dan ajaran agama Islam serta melatih murid-murid agar lebih berusaha bagi mendapatkan keredaan daripada Allah SWT dan menjadikan ayat-ayat suci Al-Quran sebagai syifa dalam kehidupan seharian.
