Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Dalam meraikan limpahan kesyukuran setelah menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran di sepanjang bulan Ramadan, gabungan Persatuan Nurul Islam (PNI) Daerah Brunei dan Muara dan Al-Quran One Day One Page Ministry of Education (ODOP MOE) telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran di Songket Ballroom, Hotel Antarabangsa Rizqun, petang ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang turut disokong oleh Keluarga Haji Baki bin Haji Muhd Salleh dan Hajah Siliah binti Yusof itu ialah Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.
Menjelaskan lanjut kepada Media Permata, Yang Dipertua PNI, Haji Hazwan Abdullah berkata majlis berkenaan merupakan aktiviti tahunan di setiap bulan suci Ramadan dengan tujuan menggalakkan saudara dan saudari mualaf bergiat dalam menyemarakkan malam-malam bulan Ramadan dengan bertadarus Al-Quran.
Melalui amalan pembacaan Al-Quran ini, jelas beliau, ia juga usaha murni untuk menanamkan semangat tekun dan sabar kepada golongan mualaf dalam mempelajari pembacaan Al-Quran sehingga sampai kepada celik Al-Quran, walaupun tidak ke tahap mahir, sekurang-kurangnya lancar, tartil dan boleh membaca Al-Quran.
“Menanamkan keimanan yang kukuh kepada saudara-saudara mualaf terhadap Al-Quran, sampai ke tahap mencintai Al-Quran sehingga Al-Quran menjadi teman mereka, ertinya Al-Quran itu sentiasa dibaca dan diamalkan apa yang terkandung di dalamnya. Jadi begitu perlu saudara-saudara mualaf kita terus diberi motivasi yang benar supaya berterusan membaca Al-Quran. Mudah-mudahan dengannya aura keberkatan dapat menyentuh hati nurani mereka, semoga kita menjadi orang yang dekat dengan Al-Quran semata-mata kerana Allah SWT demi mengharap redhaNya jua,” ujar beliau.