Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Seramai 332 bakal graduan, terdiri daripada 132 lelaki dan 200 perempuan, diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran sempena Majlis Konvokesyen Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kali Ke-33 yang berlangsung di Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba Gadong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis itu, Pengarah Urusan Adinin Group of Companies, Awang Haji Musa bin Haji Adinin yang juga mempimpin bacaan Surah Al-Fatihah.

Turut hadir, Pengarah Pendidikan Teknik dan Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr. Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli, bersama timbalan-timbalan Ketua Pegawai Eksekutif serta jemputan khas yang terdiri daripada pegawai kanan, tenaga pengajar dan kakitangan IBTE serta ibu bapa dan penjaga bakal graduan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai yang diketuai oleh pelajar HNTec IBTE Kampus Mekanikal, Awang Kaseh Ikhwan Afif Jazimin bin Mohammad Rosdi.


Ini kemudian diteruskan dengan bacaan surah-surah khatam oleh para peserta serta bacaan Doa Khatam Al-Quran oleh pelajar IBTE Kampus Bisnes, Awangku Muhammad ‘Abdurraqib bin Pengiran Haji Yussof.
Majlis turut diserikan dengan alunan Dikir Marhaban yang diketuai oleh Guru Agama, Ustaz Shaifulbahri bin Haji Ahmad, bersama pelajar-pelajar IBTE, dan majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh pelajar IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal, Mohammad Harith Daniel bin Abu Hasrah.
Majlis Khatam Al-Quran ini merupakan acara tahunan IBTE yang diadakan sempena majlis konvokesyen bertujuan menyemarakkan semangat pelajar mencintai Al-Quran serta membudayakan amalan membaca Al-Quran dalam kehidupan seharian.

