Wednesday, October 23, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis khatam raikan 358 bakal graduan IBTE

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Seramai 358 bakal graduan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) yang terdiri daripada 151 pelajar lelaki dan 207 pelajar orang perempuan telah diraikan dalam Majlis Khatam dan Doa Kesyukuran, yang berlangsung di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis Madang, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan adalah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan Dr. Haji Azman bin Ahmad,.

    Majlis khatam dimulakan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai yang diketuai oleh Awang Kaseh Ikhwan Afif Jazimin bin Mohammad Rosdi, pelajar HNTec dari IBTE Kampus Mekanikal dan diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis.

    Kemudian majlis diteruskan dengan bacaan surah-surah khatam oleh para peserta yang diketuai oleh Awang Muhammad Sakhawi bin Saiful dan Awang Mohd Hanif Hamizan bin Haji Zakaria, bakal graduan dari IBTE Kampus Nakhoda Ragam.

    Seterusnya bacaan Doa Khatam Al-Quran dibacakan oleh Awang Ahmad Izzat Mu’inuddin bin Haji Masli, bakal graduan dari IBTE Kampus Bisnes dan kemudiannya diikuti dengan bacaan Takhtim oleh pelajar-pelajar perempuan dari IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal.

    Majlis turut diserikan dengan alunan Dikir Marhaban yang diketuai oleh Awang Shaifulbahri bin Haji Ahmad dan diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Awang Mohammad Akmal Hakim bin Mohamad Alihan, pelajar dari Kampus IBTE Jefri Bolkiah.

    Turut hadir ke majlis tersebut adalah Pengetua Kampus Satelit, Dr Suhaimi bin Haji Wahab, pegawai-pegawai pengurusan IBTE serta jemputan khas yang terdiri daripada pegawai-pegawai, tenaga pengajar dan kakitangan IBTE serta ibu bapa dan penjaga bakal graduan.

    Majlis Khatam Al-Quran ini merupakan salah satu acara tahunan yang diadakan sempena majlis konvokesyen IBTE yang bertujuan untuk menyuntik semangat para pelajar agar mencintai Al-Quran serta membudayakan amalan membaca Al-Quran dalam kehidupan seharian mereka.

    Dr. Haji Azman hadir selaku tetamu kehormat majlis berkenaan.

    Suasana sekitar majlis berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN IBTE
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda