Saturday, March 1, 2025
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis khatam raikan 367 pelatih PKBN

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    TEMBURONG, 28 FEB – Seramai 367 orang pelatih Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) Pengambilan ke-13 yang terdiri daripada 253 pelatih lelaki dan 114 pelatih perempuan kelmarin diraikan di Majlis Khatam Al-Quran bertempat di Dewan Kuliah, Kem Latihan PKBN, Kampung Batu Apoi, Daerah Temburong.

    Majlis anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Bahagian Khidmat Bakti Negara itu dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Kebeliaan), di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Haji Zakaria bin Haji Serudin, selaku tetamu kehormat.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat dan diikuti dengan bacaan surah-surah lazim beramai-ramai yang diketuai oleh 14534 Pelatih Mohammad lqbal Jamaluddin bin Mohammad Salihin daripada Platun 12 dan seterusnya diikuti dengan bacaan takhtim yang diketuai oleh 14562 Mohammad Alif Khan bin Othmawee daripada Platun 12, serta bacaan Doa Khatam dike-tuai oleh 14577 Pelatih Asna Qawi Ni’matullah bin Hasnan daripada Platun 1.

    Para pelatih kemudiannya diraikan dengan Dikir Marhaban oleh penolong-penolong pegawai keagamaan dan kerohanian PKBN.

    Para pelatih PKBN seterusnya menerima sijil yang disampaikan oleh tetamu kehormat sebagai menandakan berakhirnya latihan PKBN Pengambilan ke-13.

    Majlis Khatam Al-Quran ditutup dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang disempurnakan oleh 14577 Pelatih Asna Qawi Ni’ matullah dan seterusnya sesi bergambar ramai.

    Majlis tersebut diadakan antara lain bertujuan sebagai landasan bagi para pelatih untuk mengerjakan serta memantapkan amal ibadah dan sekali gus mengukuhkan ciri-ciri kerohanian, keimanan dan ketakwaan mereka yang telah ditanamkan di sepanjang jangka waktu latihan PKBN dijalankan.

    Majlis tersebut juga telah berjaya memenuhi segala tujuan yang telah dihasratkan iaitu ke arah mewujudkan belia, khususnya para pelatih PKBN yang Syumul dan cemerlang, ke arah mendukung konsep Melayu Islam Beraja dan Negara Zikir.

    Haji Zakaria menyampaikan sijil kepada pelatih PKBN pada majlis yang berlangsung di Dewan Kuliah, Kem Latihan PKBN, Kampung Batu Apoi, Daerah Temburong, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda