Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis khatam semarakkan Ramadan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Dalam usaha menyemarakkan bulan Ramadan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan (JBS) telah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran Belia bagi bulan Ramadan 1445H/2024M bertempat di Masjid Ar-Rahim, Kampung Bukit Panggal, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari; Setiausaha Tetap (Kebeliaan), Haji Zakaria bin Haji Serudin; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah; Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri; pengarah-pengarah bahagian dan jabatan serta pegawai dan kakitangan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai Yang Berhormat Awang Abdul Aziz, diikuti bacaan khatam Al-Quran bermula dari Surah Ad-Duha hingga Al-Masad yang dikepalai oleh Penggerak Belia Impak Tutong, Awang Muhammad Darwisy Afiq bin Jalani dan diteruskan dengan bacaan takhtim dipimpin oleh Kumpulan Belia Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Kampung Kiudang, Awang Mohammad ‘Ammar Zulqarnain bin Mohammad Azril.

    Majlis diteruskan dengan Doa Khatam yang dibacakan oleh wakil belia Masjid Ar-Rahim, Kampung Bukit Panggal, Awang Muhammad Nur Hafizan @ Nur Syafizan bin Saban, diikuti Dikir Marhaban oleh Kumpulan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Ketua Kampung Bukit Panggal dan Luagan Dudok, Awang Mohammed Dandarawi bin Awang Nasar.

    Majlis tersebut bertujuan untuk menggalakkan penglibatan belia dalam aktiviti keagamaan di samping mempertingkatkan dan mengukuhkan persefahaman dan kerjasama di antara agensi-agensi yang terlibat dalam pembangunan dan tarbiah belia serta menyemarakkan bulan Ramadan dengan pengisian-pengisian yang bermanfaat terutama dengan pembacaan Al-Quran.

    Yang Berhormat Awang Abdul Aziz hadir bersama tetamu lain pada majlis yang diadakan di Masjid Ar-Rahim, Kampung Bukit Panggal, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN JBS
    Antara peserta yang hadir pada majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN JBS

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda