Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis khatam sempena Hari Kebangsaan

    Oleh Syahmi Hassan –

    TUTONG, 8 MAC – Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40, Kementerian Pertahanan telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran di Surau Al-Hikmah, Penanjong Garison, Daerah Tutong, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin, serta seluruh peringkat kepimpinan dan warga Kementerian Pertahanan.

    Turut dijemput bagi menyemarakkan majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan serta jemputan daripada agensi-agensi luar.

    Bersempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-40, seramai 40 orang peserta yang diraikan telah menghabiskan bacaan 30 Juzuk.

    Majlis tersebut juga disertai oleh 10 buah surau di perkhemahan tentera yang mana setiap surau mengkhatamkan empat kali dan menjadikannya 40 kali khatam secara keseluruhannya.

    Majlis khatam bermula dengan bacaan takhtim disusuli dengan tahlil dan bacaan Doa Khatam Al-Quran oleh Imam Surau Al-Hikmah, Awang Afiq Abdul Halim bin Haji Daniel Alexender Iskandar Zulkarnain, dan Dikir Marhaban serta diakhiri dengan sesi bergambar ramai.

    Antara tujuan majlis adalah untuk menzahirkan rasa penuh kesyukuran dan memohon doa ke hadrat Allah SWT untuk keamanan dan kemakmuran Negara Brunei Darussalam serta mengagungkan kesucian Al-Quran Al-Karim dan menyemai semangat mencintai dan menghayati Al-Quran Al-Karim di setiap lapisan pegawai dan kakitangan Kementerian Pertahanan di samping menyemarakkan lagi Sambutan Hari Kebangsaan ke-40.

    Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi menyampaikan cenderahati kepada salah seorang peserta khatam. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PERTAHANAN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda