Monday, October 7, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis khatam sempena puja usia

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Sempena Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kumpulan Isteri Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli-ahli Bersekutu telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran, Doa Kesyukuran dan Sembahyang Sunat Hajat, hari ini.

    Majlis tersebut berlangsung di Dar Al-Intishar, Kompleks Sukan Jerudong, Kampung Jerudong. Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pengerusi II Jawatankuasa Pandu Kumpulan Isteri Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli-ahli Bersekutu dan Ketua Jawatankuasa Kerja Keagamaan Kumpulan Isteri, Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi.

    Acara diteruskan dengan bacaan khatam Al-Quran beramai-ramai yang diketuai oleh Pegawai Pendidikan Ugama, Dayang Hainun binti Haji Mustapha dan Hajah Norasnida binti Haji Ramlee dan seterusnya diikuti dengan bacaan takhtim, Doa Khatam dan Dikir Marhaban sebelum ditutup dengan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Bunei Darussalam.

    Majlis pada petang tersebut turut disusuli dengan sembahyang Sunat Hajat berjemaah diimamkan oleh Pegawai Pelajaran Ugama Kanan dan juga selaku Ahli Bersekutu, Hajah Azizah binti Haji Mohamad sekali gus membaca Doa Khas Kesyukuran bagi mengakhiri
    majlis.

    Sementara itu, majlis yang sama juga diadakan oleh 40 ahli Persatuan Jururawat Negara Brunei Darussalam (PENJURU) yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

    Datin Hajah Nahriah memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah semasa majlis tersebut di Dar Al-Intishar, Kompleks Sukan Jerudong, Kampung Jerudong. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Antara ahli PENJURU yang hadir menyertai majlis khatam yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan. – GAMBAR OLEH JAMES KON

    Yang Dipertua PENJURU, Datin Paduka Hajah Suraya Noraidah binti Abdullah dalam ucapan alu-aluannya antara lain menekankan PENJURU sebagai badan profesional kejururawatan, perbidanan dan semua petugas kesihatan yang berdaftar dengan Lembaga Jururawat untuk Negara Brunei Darussalam pastinya mempunyai tugas-tugas penting dalam mendukung segala matlamat Kementerian Kesihatan ke arah pemberian perkhidmatan terbaik kepada
    masyarakat.

    Terdahulu, beliau antaranya menyentuh selaku patron kepada PENJURU, Baginda Raja Isteri adalah menjadi sumber inspirasi bagi semua ahli-ahli PENJURU.

    Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh ahli Jawatankuasa PENJURU, Haji Nipah @ Ariffin bin Haji Hassan dan sekali gus memimpin laungan Dikir Marhaban sebelum ditutup dengan Doa Selamat dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Bunei Darussalam.

    Pada majlis berkenaan, bacaan surah-surah lazim bermula daripada Surah Ad-Duha sehingga An-Nas telah diketuai oleh Awang Khairul Anwar bin Haji Abdullah dan diikuti dengan bacaan takhtim dan Doa Khatam.

    Hadir sama ialah Naib Yang Dipertua PENJURU, Hajah Asmah binti Haji Omar; Pemangku Setiausaha Kehormat PENJURU, Hajah Salmah binti Haji Mohd Noor; Pemangku Pengarah Perkhidmatan Kejururawatan, Kementerian Kesihatan, Haji Salleh Kamal bin Haji Baruddin; Pegawai Jururawat Tingkat Khas, Bahagian Perkhidmatan Kejururawatan, Kementerian Kesihatan, Hajah Kertini binti Haji Suhai; ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PENJURU, para pegawai dan kakitangan perkhidmatan kejururawatan, Kementerian Kesihatan dari keempat-empat daerah serta ahli-ahli PENJURU.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda