Monday, October 28, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis khatam sempena puja usia

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Kira-kira 250 orang ahli daripada persatuan-persatuan wanita yang bergabung di dalam Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam (MWNBD) hari ini menyertai Majlis Khatam Al-Quran sempena Sambutan Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

    Majlis anjuran MWNBD itu diadakan di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis/Madang, dan dihadiri oleh Yang Dipertua MWNBD, Datin Hajah Siti Hajar binti Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof.

    Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Dipertua MWNBD dan diikuti bacaan Sayyidul Istighfar dan Selawat Taffrijiyyah beramai-ramai.

    Acara diteruskan dengan bacaan Doa Memulakan Bacaan Al-Quran dan diikuti dengan membaca Surah Ad-Dhuha hingga Surah Al-Masad, diketuai oleh Dayangku Hajah Zainab binti Pengiran Haji Tuah daripada Persatuan Pertiwi.

    Sementara bacaan takhtim dibacakan oleh Dayang Julianawati binti Haji Hamdan daripada Persatuan Kebajikan Perempuan Daerah Belait, dan bacaan Doa Khatam Al-Quran dibacakan oleh Pengiran Hajah Rakiah binti Pengiran Haji Abu Bakar daripada Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB).

    Antara peserta yang menyertai Majlis Khatam Al-Quran tersebut. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    Majlis turut diserikan dengan Dikir Marhaban yang diketuai oleh ahli-ahli Persatuan Belia Kampung Lambak (PERBEKAL) dan Persatuan Nurul Islam (PNI), sementara Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Hajah Amsah binti Haji Abdul Rajak daripada Persatuan Siswazah Wanita (PSW).

    Antara lain objektif majlis tersebut diadakan adalah untuk memanjatkan dan merafakkan doa ke hadrat Allah SWT semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri dilanjutkan usia, dikurniakan taufik dan hidayah, sihat walafiat, dan sentiasa dalam perlindungan Allah SWT.

    Ini seterusnya memberi sokongan Baginda yang berterusan kepada kaum wanita di negara ini pada amnya dan khasnya kepada MWNBD.

    Majlis tersebut merupakan salah satu aktiviti tahunan dan tanda kasih kepada Baginda Raja Isteri selaku Penaung Diraja MWNBD.

    Turut hadir di majlis itu ialah naib-naib yang dipertua I, II, dan III MWNBD, Pengiran Datin Paduka Hajah Mariam binti Pengiran Haji Matarsat, Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali, Hajah Kertini binti OKPSD Abang Haji Abu Hanifah; dan Yang Dipertua PENJURU, Datin Paduka Hajah Suraya Noraidah binti Abdullah, ahli-ahli Lembaga Tadbir MWNBD, Yang Dipertua dan pengarah daripada 13 buah persatuan yang bergabung dalam MWNBD serta para jemputan khas.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda