Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis khatam sempena puja usia

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Seramai 280 orang peserta yang terdiri daripada ahli 13 persatuan wanita di bawah naungan Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam (MWNBD), hari ini, telah menyertai Majlis Khatam Al-Quran sempena ulang tahun puja usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam.

    Majlis berkenaan diadakan di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis/Madang, dan merupakan salah satu kegiatan tahunan MWNBD yang pada tahun ini diadakan khas bagi menzahirkan rasa kesyukuran sempena sambutan tersebut.

    Hadir pada majlis berkenaan, Yang Dipertua MWNBD, Datin Hajah Dayang Siti Hajar binti Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Awang Mohd Yusof, serta Ahli-ahli Lembaga Tadbir MWNBD.

    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Turut hadir ialah Yang Dipertua, Naib Yang Dipertua, Ketua Pesuruhjaya dan Pengarah 13 persatuan wanita yang bergabung di bawah MWNBD, serta wakil daripada persatuan-persatuan sahabat MWNBD.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Datin Hajah Dayang Siti Hajar binti Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Awang Mohd Yusof, diikuti dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Selawat Tafrijiyah beramai-ramai.

    Manakala bacaan Khatam Al-Quran bermula dari Surah Ad-Dhuha hingga Surah Al-Masad diketuai oleh Hajah Fatimah binti Haji Ahmad dari Persatuan Pertiwi, diikuti bacaan Takhtim oleh Juliana binti Haji Hamdan dari PKP.

    Sementara, Doa Khatam Al-Quran dibacakan oleh Pengiran Hajah Rakiah binti Pengiran Haji Abu Bakar dari PGGMB.

    Gambar atas & bawah, antara yang menyertai dalam Majlis Khatam Al-Quran sempena puja usia Baginda Raja Isteri. – GAMBAR-GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Majlis berkenaan turit diserikan dengan laungan Dikir Marhaban yang dipimpin oleh ahli-ahli daripada WI, PKP dan BESTARI, dan majlis diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dibacakan oleh Hajah Fatimah binti Haji Abd Ghani dari PPPBD, diikuti Kafaratul Majlis dan Surah Al-Asr.

    Antara lain tujuan majlis ini adalah untuk memohon doa ke hadrat Allah SWT agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri sentiasa dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan yang baik serta sentiasa berada dalam limpah rahmat dan perlindungannya.

    Selain itu, majlis juga diadakan bagi menzahirkan rasa kesyukuran atas keprihatinan berterusan Baginda terhadap kaum wanita di negara ini, menyemai budaya membaca Al-Quran dalam kalangan ahli persatuan wanita, serta mengeratkan silaturahim sesama ahli MWNBD dan rakan persatuan sahabatnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda

    Rockets atasi Cavs