Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Jemaah Tadarus Al-Quran Subuh Masjid Kampung Sungai Besar mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78 Tahun.
Antara yang hadir bagi sama-sama menyertai majlis yang berlangsung di Masjid Kampung Sungai Besar itu ialah Ketua Kampung Sungai Besar, Kampung Serdang dan Kampung Sungai Belukut, Leftenan Kolonel (B) Haji Zaini bin Haji Damit; dan Penasihat Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Besar, Haji Mohidin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan bacaan Surah Ad-Duha sehingga Surah An-Nas yang dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Sungai Besar, Awang Muhammad Hazman bin Haji Mohd Hairol Azme yang juga membaca Doa Khatam dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Dalam perkongsian kepada Media Permata, Leftenan Kolonel (B) Haji Zaini antaranya merakamkan kesyukuran kepada Allah SWT atas segala nikmat rezeki keamanan dan kestabilan di Brunei berkat kepimpinan dan kewibawaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Tambahnya, rakyat jelata menjunjung kasih atas pengorbanan Baginda Sultan yang sangat prihatin menjaga dan memelihara kemaslahatan rakyat serta penduduk di negara ini.
Begitu juga Baginda Sultan terus menjadikan bidang keagamaan sebagai teras kepada hala tuju pembangunan serta perkembangan negara dan menjadikan negara ini sebagai sebuah negara zikir.
Dengan adanya majlis seumpama itu, ia juga dihasrat untuk mendidik para jemaah khususnya dan umat Islam amnya agar sentiasa berusaha meraih ganjaran pahala menerusi amalan pembacaan Al-Quran dalam kehidupan sehari-hari.
