Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-37, Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba pada baru-baru ini telah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran bertempat di masjid berkenaan.
Seramai 21 murid-murid kelas Al-Quran bagi tahun 2021 Masihi bersamaan 1442 Hijrah telah menyertai majlis tersebut.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Juffle bin Haji Mega.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis seterusnya diikuti dengan bacaan khatam Al-Quran dipimpin oleh Awangku Mohd Azizuddin bin Pengiran Mohd Aripin dan disusuli dengan bacaan takhtim oleh guru-guru masjid berkenaan.
Majlis tersebut turut diserikan lagi dengan bacaan Dikir Marhaban oleh guru-guru, manakala Doa Khatam pula dibacakan oleh Awangku Mohd Azizuddin.
Sementara itu tetamu kehormat turut berkesudian menyampaikan sijil dan cenderahati kepada para murid khatam yang diraikan.
Turut hadir ialah Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Abdul Aziz bin Haji Mohd Yassin, pegawai-pegawai masjid, para jemaah serta ibu bapa murid-murid.
