Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Bagi menyemarakkan lagi suasana bulan Ramadan, Pejabat Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran, Tahlil serta membaca Doa Arwah di Surau Pejabat Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Hadir pada majlis itu ialah Pengarah Pejabat Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Brigadier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Wardi bin Haji Abdul Latip.
Acara dimulakan dengan bacaan surah-surah lazim oleh pegawai-pegawai dan kakitangan pejabat berkenaan dan diikuti dengan bacaan Tahtim yang diketuai oleh Imam Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop, Haji Muslim bin Haji Abdul Razak.
Majlis bertadarus dan khatam tersebut merupakan salah satu aktiviti tahunan pejabat berkenaan dalam bulan Ramadan. Selain majlis berkenaan, aktiviti lain seperti bertahlil di Kubah Makam Diraja, majlis ceramah keagamaan dan Qiyamulail turut diadakan di sepanjang bulan Ramadan yang Mubarak ini.
