Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Seramai 225 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen ke-15 Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) yang berlangsung pagi tadi di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan juga selaku Canselor KUPU SB telah berkenan berangkat menyempurnakan pengurniaan ijazah dan diploma kepada para graduan bagi pelbagai program pengajian di majlis yang penuh gilang-gemilang tersebut.
Keberangkatan tiba Baginda Sultan dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Ra’es KUPU SB, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; dan Pemangku Pendaftar KUPU SB, Awang Adi Rani Soffian bin Abdul Rahman.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Abdul Aziz bin Juned dan diikuti dengan bacaan Asmaul Husna beramai-ramai.
Perarakan Keberangkatan Canselor didahului dengan pengusungan Mushaf Al-Quran yang dibawa masuk oleh Penulis Mushaf KUPU SB, Awang Mohd Adi Yusnira bin Haji Johari, sebelum nyanyian lagu kebangsaan Allah Peliharakan Sultan bergema di seluruh dewan.
Majlis turut disemarakkan dengan bacaan ayat-ayat suci dari Surah Al-Hujurat ayat 4 hingga 7 oleh para graduan, diikuti dengan bacaan intisari ayat oleh Awang Abdul Wafi bin Haji Abdul Rahman, graduan Program Doktor Falsafah Perguruan Ugama (Pendidikan Islam) dan bacaan Hadith oleh Awang Mohammad Hadi Shahril bin Haji Mesli, graduan Program Sarjana Muda Perguruan Ugama (Pendidikan Bahasa Arab).
Sembah alu-aluan disampaikan oleh Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, sebelum Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah dan seterusnya menyempurnakan pengurniaan ijazah dan diploma kepada para graduan mengikut bidang masing-masing.

Daripada jumlah berkenaan, seorang graduan dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah Perguruan Ugama (Pendidikan Islam), manakala 21 graduan menerima Ijazah Sarjana Perguruan Ugama dalam pelbagai bidang termasuk Bahasa Arab, Kajian Ahli Sunnah Waljama’ah, Pendidikan Islam, Sejarah dan Tamadun Islam, Syariah, dan Usuluddin.
Selain itu, seorang graduan menerima Diploma Perguruan Ugama Lepasan Ijazah (Bahasa Arab), 14 graduan menerima Diploma Perguruan Ugama Lepasan Ijazah dan 30 graduan menerima Diploma Perguruan Ugama Lepasan Ijazah (Pendidikan Islam).
Turut menerima ijazah ialah empat graduan dalam Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama (Pendidikan Bahasa Arab) dan 72 graduan dalam Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama (Pendidikan Islam) dengan pelbagai minor termasuk Pengajian Al-Qur’an dan Al-Sunnah, Seni Al-Qur’an, Bimbingan dan Kaunseling, Dakwah dan Kepimpinan, Fiqh Ahli Sunnah Waljama’ah, Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Pendidikan Khas, dan Pendidikan Melayu Islam Beraja.


Seterusnya, lima graduan dianugerahkan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama (Pendidikan Bahasa Arab), manakala 77 graduan dianugerahkan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama (Pendidikan Islam).
Bagi memberkati majlis, doa selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Sebagai satu-satunya institusi pengajian tinggi yang menawarkan program latihan dalam bidang Perguruan Ugama di Negara Brunei Darussalam, KUPU SB terus komited melahirkan pendidik dan pemimpin yang bertaqwa, berwibawa, berakhlak mulia, berdaya saing, berpengetahuan serta berkemahiran tinggi.
Usaha ini seiring dengan visi KUPU SB untuk menjadi institusi unggul dalam melahirkan modal insan holistik yang memenuhi keperluan negara, berpandukan Ahli Sunnah Waljama’ah dan Falsafah Melayu Islam Beraja, sekali gus menyokong pembangunan generasi berkemahiran, beridentiti keBruneian serta berpandangan global.

