Sunday, December 22, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis konvokesyen rai 252 graduan KUPU SB

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) berkenan berangkat menyempurnakan pengurniaan ijazah dan diploma kepada seramai 252 orang graduan pada Majlis Konvokesyen ke-14 KUPU SB yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, dan diteruskan dengan bacaan Asma’ Al-Husna beramai-ramai.

    Keberangkatan tiba Baginda Sultan dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Turut menjunjung keberangkatan Baginda, Raes KUPU SB, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani dan Pemangku Pendaftar KUPU SB, Awang Adi Rani Soffian bin Abdul Rahman.

    Perarakan Keberangkatan Canselor KUPU SB didahului dengan pengusungan mushaf Al-Quran yang dibawa masuk ke dalam dewan oleh penulis Mushaf KUPU SB, Awang Mohd Adi Yusnira bin Haji Johari.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berkenan melihat lembaran Mushaf KUPU SB semasa berangkat menyempurnakan pengurniaan ijazah dan diploma pada Majlis Konvokesyen ke-14 Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH : KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan ijazah kepada graduan pada Majlis Konvokesyen KUPU SB ke-14 kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Baginda Sultan berkenan dijunjung bergambar bersama para graduan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Baginda Sultan berkenan dijunjung menandatangani autograf. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Baginda Sultan berkenan dijunjung bergambar bersama para graduan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH : Antara graduan yang hadir pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara hadirin yang hadir pada majlis itu. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Sejurus itu, lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dinyanyikan.

    Majlis disemarakkan dengan alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, Surah ‘Ali ‘Imran ayat 190 hingga 194 beramai-ramai oleh para graduan Konvokesyen ke-14 KUPU SB.

    Intisari ayat dibacakan oleh Awang Abdul Hadi Nasrullah bin Muhammad Ashraf, manakala bacaan hadis pula disampaikan oleh Awang Muhammad Aqil Arfan bin Arjune, yang mana kedua-kedua merupakan graduan Sarjana Muda Perguruan Ugama (Pendidikan Islam) dengan Minor Akhlak dan Tasawuf Ahli Sunnah Waljama’ah.

    Majlis berkenaan memberi kenangan berharga kepada para graduan KUPU SB ke-14, apabila Baginda Sultan berkenan menyempurnakan pengurniaan ijazah kepada 252 orang graduan mengikut bidang masing-masing.

    Graduan KUPU SB yang diraikan terdiri daripada dua orang graduan dianugerahkan dengan Ijazah Doktor Falsafah Perguruan Ugama dalam bidang Pendidikan Islam; tiga orang graduan menerima Ijazah Sarjana Perguruan Ugama dalam bidang Pendidikan Islam; 31 orang graduan dianugerahkan Diploma Perguruan Ugama Lepasan Ijazah, manakala tujuh orang graduan pula dianuge-rahkan Diploma Perguruan Ugama Lepasan Ijazah (Pengajaran Bahasa Arab bagi Penutur Bukan Arab).

    Selain itu, tujuh orang graduan menerima Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama (Pendidikan Bahasa Arab) manakala 87 orang graduan menerima Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama (Pendidikan Islam) dengan minor tertentu, iaitu Minor Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah, Akhlak dan Tasawuf Ahli Sunnah Waljama’ah, Aqidah Ahli Sunnah Waljama’ah, Bimbingan dan Kaunseling, Dakwah dan Kepimpinan, Inovasi dan Teknologi Pendidikan Islam, Keusahawanan dalam Pendidikan Islam, Kewangan Islam, Pendidikan Awal Kanak-kanak, Pendidikan Keluarga Islam, Pendidikan Khas, Pendidikan Melayu Islam Beraja, Pendidikan Sains Kesihatan dan Minor Usul Fiqh.

    Manakala lima orang graduan dianugerahkan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama (Pendidikan Bahasa Arab); 88 orang graduan dianugerahkan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama (Pendidikan Islam); dan 22 orang graduan menerima Diploma Pengajian dalam bidang-bidang pengkhususan iaitu Seni Al-Quran, Fiqh Usrah, Kemahiran Jawi dan Kaligrafi dan juga Kitab Turath.

    Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda