Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Republik Arab Mesir dengan kerjasama Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam di Republik Arab Mesir, kelmarin, telah mengadakan majlis konvokesyen bagi graduan-graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian di Universiti Al-Azhar dan Maahad Qiraat Shoubra.
Majlis diadakan di Dewan Qa’ah Ihtifalat Wal ‘Mutamarrat Al-Kubra Lilbanat, Universiti Al Azhar, Madinat Nasr.
Seramai 38 orang graduan telah menerima ijazah sarjana muda dalam jurusan masing-masing sekali gus telah menamatkan pengajian di Universiti Al Azhar dan Maahad Qiraat Shoubra.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Raes Universiti Al-Azhar, Dr Salama Daoud yang turut menyampaikan sijil-sijil kepada para graduan. Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Arab Mesir, Tuan Yang Terutama Pengiran Mohd Salimin bin Pengiran Haji Daud. Graduan yang diraikan terdiri daripada empat graduan lulusan Maahad Qiraat Marhalah Takhassus, seorang graduan lulusan Kuliah Tarbiyah Qism Lughah Arabiyah, tiga graduan lulusan Kuliah Lughah Arabiyah, lapan lulusan Kuliah Usuluddin, seorang lulusan Kuliah Syariah Wal Qonun dan 21 graduan lulusan Kuliah Syariah Islamiyyah.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Graduan Cemerlang kepada dua orang graduan yang telah memperoleh Mumtaz Martabah Syarf secara keseluruhan sepanjang pengajian di Universiti Al-Azhar.



