Khamis, November 20, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis konvokesyen rai pencapaian murid

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Seramai 99 graduan diraikan pada Majlis Konvokesyen dan Pesta Pendidikan ke-47 Peringkat Rendah dan Menengah Sekolah Nusa Laila Puteri yang berlangsung baru-baru ini.

    Para graduan yang diraikan merangkumi 17 graduan Tahun 11 dan 82 graduan Tahun 6 dari cawangan Jangsak, Kiulap dan Sungai Buloh. Sementara itu, seramai 111 orang murid Tahun 1 hingga Tahun 11 turut menerima sijil cemerlang bagi sesi akademik 2025.

    Majlis dihadiri oleh Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Dr Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong selaku tetamu kehormat, yang seterusnya menyampaikan ucapan alu-aluan.

    Turut hadir ialah Ketua Pentadbiran Sekolah Nusa Laila Puteri, Pengiran Haji Amir Khalid Abdul Aziz bin Profesor Dr Pengiran Haji Amir Mohd Yusof.

    Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan dan lagu sekolah oleh para pelajar Tahun 6 dan Tahun 11, diikuti dengan bacaan Doa Selamat.

    Dalam ucapan tetamu kehormat, beliau menyampaikan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas kesempatan berhimpun dalam majlis penuh bermakna itu, serta merakamkan terima kasih kepada ahli Jawatankuasa Majlis Konvokesyen dan Pesta Pendidikan ke-47 atas jemputan untuk bersama meraikan para graduan.

    Beliau menambah Sekolah Nusa Laila Puteri akan menyambut ulang tahun penubuhan ke-50 tahun pada tahun hadapan dan berharap usaha meningkatkan kualiti pengajaran dapat diteruskan seiring perubahan semasa.

    Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian sijil dan hadiah oleh tetamu kehormat kepada para graduan. Seterusnya, Pengiran Haji Amir Khalid Abdul Aziz menyampaikan sijil serta hadiah kepada para penerima cemerlang merangkumi Tahun 1 hingga 6, Tahun 7 hingga 11 dan Loyalty Award.

    Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah oleh wakil Insurans Islam TAIB kepada murid cemerlang TAIB.

    Acara diserikan dengan persembahan lagu penutup Selamat Berpisah sebelum diakhiri dengan sesi bergambar beramai.

    Dr Haji Muhammad Hadi semasa menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Acara diserikan dengan persembahan lagu Selamat Berpisah daripada para graduan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda