Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Bagi memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada pelajar-pelajar yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang, Sekolah Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) Kampung Sungai Akar mengadakan Majlis Konvokesyen 2024 yang berlangsung di sekolah berkenaan pada 23 November lalu.
Hadir untuk menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pelajar yang diraikan ialah Pengerusi Tetap PGGMB, Haji Jamal bin Haji Kahar.
Dalam ucapan alu-aluannya di majlis berkenaan, Guru Besar Sekolah PGGMB Kampung Sungai Akar, Haji Ali@Mustapha bin Haji Talip berkata majlis itu selain daripada sebagai penghargaan kepada pelajar-pelajar yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) Tahun 2024, adalah juga bagi meraikan pelajar-pelajar lain yang mencapai kecemerlangan mengikut peringkat pengajian.
Beliau menyatakan Sekolah PGGMB Kampung Sungai Akar, sekali lagi berjaya memperoleh pencapaian cemerlang dengan memperoleh 100 peratus lulus peperiksaan PSR bagi
2024.
Daripada 25 calon, jelasnya, seramai tujuh pelajar memperoleh 5A dalam lima mata pelajaran dan tiga pelajar memperoleh 4A dan 1B.
Menurutnya lagi, sekolah itu juga telah mencapai keputusan 100 peratus lulus pada tahun-tahun sebelumnya iaitu 2014, 2015, 2016, 2017, 2018, 2019, 2020, 2021 dan 2023.
Beliau seterusnya merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada guru-guru dan ibu bapa murid-murid atas kejayaan berkenaan serta berkongsi hala tuju sekolah untuk meningkatkan kemahiran literasi dan numerasi, kemahiran berfikir dan memperkasa mata-mata pelajaran asas seperti Sains, Teknologi, Matematik dan Inggeris.
Pada majlis itu, Haji Jamal telah menyempurnakan penyampaian sijil dan hadiah-hadiah kepada para pelajar cemerlang mengikut pencapaian dan peringkat pengajian masing-masing.