Oleh Ak Zaki Kasharan & Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Seramai 1,149 orang graduan terdiri daripada 43 graduan ijazah doktor falsafah (PhD), 268 graduan sarjana, 792 graduan sarjana muda daripada kumpulan ke-11 program GenNEXT, serta 46 penerima diploma telah diraikan pada Majlis Konvokesyen ke-35 Universiti Brunei Darussalam (UBD) di Dewan Canselor UBD, hari ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor UBD telah berkenan berangkat menyempurnakan pengurniaan ijazah PhD dan sarjana muda kepada para graduan pada sebelah pagi.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Pro-Canselor UBD, yang turut berkenan mengurniakan ijazah sarjana, diploma siswazah dan diploma kepada para graduan pada sebelah petang.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh dan Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle yang turut menjunjung keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota pada sebelah petang.
Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Majlis disusuli dengan bacaan Surah An-Nahl ayat 64 hingga 69 oleh mahasiswa dari Ijazah Sarjana Muda Sains Bioperubatan, Awang Muhammad Izzuddin bin Haji Nor Hisham yang telah menyertai Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Institusi Pengajian Tinggi pada 2019, Musabaqah Tilawah Quran Chancellor’s Trophy Tahun 2022, Musabaqah Tilawah Al-Quran Peringkat Belia Kebangsaan pada 2017 dan 2022, serta Pertandingan Membaca Al-Quran Peringkat Masjid-masjid pada 2015.
Ia diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Dr Hazri yang antara lain mengongsikan bahawa majlis konvokesyen kali ini menyaksikan jumlah penerima PhD tertinggi dalam sejarah konvokesyen UBD iaitu seramai 43 orang yang terdiri daripada 24 graduan anak tempatan dan 19 graduan antarabangsa.
Dr Hazri seterusnya menyembahkan beberapa perkembangan yang dilaksanakan oleh UBD semenjak konvokesyen yang lalu.
Menurut beliau, dalam menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi kurikulum GenNext direbiu agar terus relevan demi melahirkan graduan yang employable dan future-proof, pihak UBD telah memulakan usaha dengan menubuhkan satu kumpulan kerja khusus untuk menilai, menanda aras dan memberikan hala tuju kurikulum baharu yang sentiasa relevan, efektif, bersifat interdisciplinary dan experiential learning demi memastikan para graduan akan mendapat pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang diperlukan pada era yang semakin mencabar ini.
“Stakeholder engagement juga telah dan akan terus dilaksanakan bersama pihak industri, agensi-agensi kerajaan, para pelajar, alumni dan ibu bapa melalui bengkel, kaji selidik dan focus group bagi mendapatkan pemikiran dan maklum balas yang amat berharga dalam penambahbaikan kurikulum ini.
“Insya-Allah, usaha ini akan dilaksanakan dengan komprehensif dan teliti bagi mengenal pasti apa jua jurang dan keperluan sumber bagi memastikan penghasilan dan pelaksanaan kurikulum baharu yang teguh, berdaya tahan dan sejajar dengan trend kurikulum pengajian tinggi di peringkat antara-bangsa,” sembah Naib Canselor UBD.
Dr Hazri juga menyembahkan bahawa UBD telah mula menawarkan dua program baharu iaitu Sarjana dan PhD dalam Digital Public Health, dan Micromaster of Occupational Health and Safety dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA).
Pelaksanaan program-program berkenaan, jelasnya, adalah untuk mendukung hasrat pembelajaran sepanjang hayat selaras dengan keperluan para profesional dan industri yang berkenaan.
Sejurus sembah alu-aluan naib canselor UBD, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah sebelum menyempurnakan pengurniaan ijazah kepada graduan PhD dan sarjana.
Bagi memberkati majlis, bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan menyaksikan pameran khas yang mempamerkan mengenai penemuan saintifik dan inovasi terkini.
Pada pameran tersebut, Baginda Sultan juga berkenan menerima pesambah berupa karya seni bunga kebangsaan Brunei Darussalam, Bunga Simpur (Dillenia Suffruticosa), dan bunga kebangsaan Singapura, Orkid Singapura (Papilionanthe Miss Joaquim).