Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Seramai 1,177 orang graduan terdiri daripada 55 orang graduan ijazah doktor falsafah (PhD), 263 orang graduan sarjana, 823 orang graduan sarjana muda serta 36 orang penerima diploma lepasan ijazah daripada kumpulan ke-13 program GenNEXT telah diraikan pada Majlis Konvokesyen ke-37 Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang berlangsung Dewan Canselor UBD, hari ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor UBD telah berkenan berangkat menyempurnakan pengurniaan ijazah PhD dan sarjana muda iaitu Sarjana Muda Sastera, Sarjana Muda Sains, Sarjana Muda Kejuruteraan dan Sarjana Muda Sains Digital kepada para graduan pada sebelah pagi.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Pro-Canselor UBD.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh dan Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle yang turut menjunjung keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota pada sebelah petang.
Dalam sembah alu-aluannya, Dr Hazri menyembahkan UBD telah merangka sebuah program dan kurikulum baharu yang dinamakan GenBESTARI ataupun Generasi BESTARI yang bukan sahaja melibatkan pembaharuan dalam kurikulum akademik tetapi juga turut mengintegrasikan aktiviti-aktiviti ko-kurikulum untuk melahirkan graduan yang cemerlang dan holistik.












Program GenBESTARI akan mempunyai tempoh pengajian selama tiga tahun di mana ia dirangka bukan sekadar untuk memendekkan tempoh pengajian, bahkan telah melalui penelitian mendalam bersama pihak berkepentingan termasuk sektor industri bagi melahirkan sebuah kurikulum akademik yang transformatif dan pluridisciplinary yang merangkumi modul wajib dan modul pilihan.
Pembelajaran melalui pengalaman dalam program Discovery Year, sembahnya, akan terus dikekalkan sebagai komponen wajib.
Manakala, bagi komponen ko-kurikulum, pembaharuan melibatkan pengenalan dua kategori utama iaitu Pamor sebagai aktiviti teras yang wajib diikutit oleh semua pelajar dan Citra sebagai aktiviti pilihan mengikut minat dan kecenderungan masing-masing.
Semua pembangunan kemahiran insaniah pelajar yang terbentuk melalui modul akademik dan aktiviti ko-kurikulum akan direkod secara sistematik melalui platform digital khas, Learner Profile System (LPS).
Sistem itu, jelas Dr Hazri menilai tahap pencapaian pelajar dalam tujuh ciri utama GenBESTARI iaitu sebagai individu yang seimbang dan holistik pemimpin beretika, pemikir lestari, pengamal transdisiplin, pembelajar sepanjang hayat, warganegara global yang bertanggungjawab serta ahli fikir yang inovatif.
“Pendekatan baharu ini memastikan kedua-dua aspek pencapaian akademik dan kemahiran insaniah dinilai secara saling melengkapi. Program baharu ini akan bermula pada September 2026,” sembahnya.
Majlis konvokesyen tahun ini telah menyaksikan kumpulan pertama graduan program Sarjana Muda Sains Digital dalam Kecerdasan Buatan Gunaan dari Sekolah Sains Digital (SDS) yang merangkumi seramai enam orang graduan tempatan dan antarabangsa.
Sementara itu, Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS) dengan kerjasama SDS juga melahirkan graduan UBD pertama, Sarjana dalam Kesihatan Awam Digital.
Seterusnya, Baginda Sultan dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung menyaksikan pameran khas yang memaparkan penemuan terkini penyelidikan, inovasi dan pencapaian pelajar yang membawa tema, Ideas That Shift, di mana pameran menjejaki perjalanan bermakna daripada inovasi dasar kepada penemuan saintifik, ke penyelesaian dunia sebenar, yang mencerminkan peranan UBD sebagai sebuah universiti yang menerajui dengan idea, bukti dan tindakan.
Sementara itu pada sebelah petang, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan berangkat mengurniakan ijazah sarjana, sarjana muda iaitu Sarjana Muda Sains Kesihatan, Sarjana Muda Perdagangan, Sarjana Muda Sains dalam Ekonomi Digital dan diploma lepasan ijazah kepada para graduan.

