Oleh Yusrin Junaidi, Sim Y. H. & Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Sempena Hari Raya Aidiladha 1446 Hijrah, pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan di Negara Brunei Darussalam telah mengadakan majlis sambutan dan ibadah korban secara serentak, mencerminkan semangat perpaduan, keprihatinan dan penghayatan nilai pengorbanan dalam kalangan penjawat awam.
Sehubungan itu, Kementerian Pertahanan telah mengadakan Majlis Ibadah Korban bagi tahun 1446 Hijrah yang berlangsung di Surau Ad-Difa’, Bolkiah Garison, hari ini.
Hadir pada majlis berkenaan dan menyempurnakan pengagihan daging korban ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Turut hadir ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Alirupendi bin Haji Perudin; ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif ABDB; pegawai-pegawai dan anggota-anggota Kementerian Pertahanan.
Pada majlis itu, lapan ekor kerbau dan dua ekor kambing telah dikorbankan dan diagihkan kepada seramai 150 orang penerima yang terdiri daripada warga Kementerian Pertahanan, termasuk 20 orang pesara tentera serta 30 orang saudara baru.
Jemputan-jemputan khas yang turut diundang ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat; Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, (Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Misle bin Haji Abdul Karim; dan Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Haji Hamzah bin Haji Sabtu, imam-imam Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Damit, Kampung Madang; dan Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop; serta Pemangku Penghulu Mukim Berakas A.
Sementara itu, JPM dan Jabatan-jabatan di bawahnya turut tidak ketinggalan mengadakan majlis serupa, bertempat di Dewan Bankuet, Aras 2, Bangunan JPM.
Hadir selaku tetamu kehormat bersama ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi, dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Pada majlis tersebut, tiga ekor kerbau telah dikorbankan, diikuti dengan pengagihan daging korban oleh tetamu kehormat kepada penerima-penerima yang terpilih terdiri daripada kalangan kakitangan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya serta penerima daripada golongan asnaf fakir miskin yang berdaftar dengan MUIB.
Acara sama turut diadakan oleh Kementerian Kesihatan, yang menyaksikan seramai 96 orang kakitangan Kementerian Kesihatan dari Bahagian 5 menerima agihan daging korban dalam majlis yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, petang tadi.
Majlis berkenaan merupakan anjuran bersama oleh Jabatan Pentadbiran dan Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Bahagian Perolehan, serta Bahagian Pengurusan Estet dan Perkembangan Projek, Kementerian Kesihatan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, dan isteri.
Pada tahun ini, lima ekor kerbau telah dikorbankan.
Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) juga mengadakan majlis serupa bertempat di Dewan Teater, Bangunan MOFE, Commonwealth Drive, Jalan Kebangsaan, Negara Brunei Darussalam, petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid, setiausaha tetap, pemangku setiausaha-setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan MOFE serta jabatan-jabatan di dalamnya.
Sebanyak tujuh ekor kerbau dikorbankan yang disertai oleh 49 orang peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan dan ahli-ahli keluarga MOFE serta jabatan-jabatan di dalamnya.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew telah menyempurnakan agihan daging-daging korban kepada 100 orang penerima yang terdiri daripada golongan asnaf kawasan Daerah Brunei dan Muara.
Bagi Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) pula, seramai 165 penerima terdiri daripada golongan asnaf fakir miskin, anak-anak yatim, pegawai dan kakitangan Bahagian 5 serta warga MTIC menerima agihan daging korban dalam majlis yang berlangsung pagi tadi di Dewan Amar Pahlawan, Bangunan MTIC.
Majlis berkenaan dikelolakan oleh Jabatan Perkhidmatan Pos selaku penganjur tahun ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, bersama isteri.
Sebanyak enam ekor kerbau telah dikorbankan pada tahun ini, dan daging-dagingnya telah diagihkan oleh Yang Berhormat Pengiran Dato kepada 105 orang asnaf dari Mukim Berakas ‘A’, 30 orang anak-anak yatim, 30 orang pegawai dari Bahagian 5, manakala selebihnya disampaikan kepada jemputan serta peserta korban warga MTIC dan jabatan serta agensi-agensi di bawahnya.
Manakala, bagi Kementerian Pendidikan pula, melalui Jabatan Pengajian Tinggi, Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat telah mengadakan Majlis Ibadah Korban yang berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Lambak Kiri (SMLK), hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.
Pada tahun ini, lima ekor kerbau telah dikorbankan melalui penyertaan pegawai, kakitangan dan ahli keluarga dari pelbagai bahagian di bawah Kementerian Pendidikan.
Majlis turut menyaksikan penyampaian ceramah khas bertajuk, Lelah Lillah, yang disampaikan oleh Pegawai Ugama dari Pusat Dakwah Islamiah, KHEU, Awang Mohammad Nasyith bin Superi.
Majlis diteruskan dengan penyampaian daging korban oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan kepada para penerima dan peserta, termasuk penerima afdal, serta pelajar-pelajar dari SMLK dan Sekolah Rendah Dato Othman.