Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JULAI – Hubungan rakyat ke rakyat melalui Program Pertukaran Muslim Australia-ASEAN (AAMEP) dapat memperkayakan masyarakat di Negara Brunei Darussalam dan Australia.
Pada masa yang sama, ia juga dapat menunjukkan masyarakat moden pelbagai budaya Australia dan menjadikannya sebagai rakan yang hebat untuk negara jiran di Asia Tenggara, jelas Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Luke Arnold dalam kata alu-aluannya semasa Majlis Makan Malam Alumni AAMEP yang berlangsung di Bandar Seri Begawan, kelmarin.
Majlis makan malam berkenaan dihadiri oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari.
TYT Luke Arnold turut menyatakan bahawa Islam merupakan komuniti agama kedua terbesar di Australia dan sebahagian penting daripada negara berkenaan.
Lima orang pemimpin Islam Australia sedang mengadakan lawatan ke Negara Brunei Darussalam sebagai sebahagian daripada program AAMEP 2023 dari 14 hingga 21 Julai dengan delegasi berkenaan memulakan program dengan menghadiri majlis-majlis sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77 pada 15 dan 16 Julai di Istana Nurul Iman.

Lima orang perwakilan Australia yang mengambil bahagian dalam lawatan berkenaan terdiri daripada pemimpin muda masyarakat dari Melbourne, Sydney dan Perth termasuk pembuat filem, Kauthar Abdulalim; penasihat pelaburan strategik, Mohammed Khelil; peguam, Anjum Kasmani; pakar penglibatan pelbagai budaya, Zinab Al Hilaly dan pemimpin belia, Ameen Soliman.
Program pada 17 Julai telah diisikan dengan lawatan rasmi ke Masjid Omar ‘Ali Saifuddien bersama Pejabat Hal Ehwal Ugama, kunjungan muhibah kepada Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, lawatan ke Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) serta majlis makan malam Alumni AAMEP bersama Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
AAMEP merupakan sebuah inisiatif Jabatan Perdagangan dan Hal Ehwal Luar Australia dan disampaikan oleh Mosaic Connections di mana ia bermula pada 2019 serta membina satu siri program pertukaran serantau yang memberi tumpuan kepada komuniti Islam antara Australia dan Asia Tenggara yang dimulakan pada 2002.
Program itu memberi tumpuan kepada pertukaran rakyat-ke-rakyat dan dialog yang bertujuan untuk meleraikan stereotaip, membina pemahaman yang lebih mendalam daripada komuniti masing-masing serta memupuk hubungan dan kerjasama yang berkekalan.
AAMEP 2023 diadakan sekali lagi secara fizikal selepas diadakan secara dalam talian disebabkan COVID. Ia bermula pada Jun 2023 dengan lapan perwakilan dari Negara Brunei Darussalam, Malaysia, Thailand, dan Filipina melawat Melbourne dan Sydney selama lapan hari.
Ahli-ahli delegasi Negara Brunei Darussalam terdiri daripada peguam, Dayang Rabiqah Natasha Halim binti Mohammad Yusof dan pegawai dari Kementerian Pertahanan, Awangku Mohd Nazirul Mubin bin Pengiran Haji Abdul Rahman.
Pengarah Mosaic Connec-tions, Rowan Gould dipetik menyatakan keterujaan mereka untuk melawat Negara Brunei Darussalam buat kali pertama bagi AAMEP 2023.
“Masyarakat dan budaya Brunei yang berkembang maju mempunyai banyak yang ditawarkannya dan kami amat berminat supaya delegasi Australia dan Brunei melihat seberapa banyak yang boleh dan memperkukuhkan hubungan semasa mereka berada di sini,” ujarnya.