Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT – Pelari tempatan BMW Brunei Half Marathon 2024 semalam diraikan dalam majlis makan malam penghargaan sebelum berlepas ke Kejohanan Maraton BMW Berlin 2025 yang akan berlangsung pada 21 September ini.
Majlis yang diadakan di salah sebuah restoran di Kiarong itu dianjurkan oleh BMW Brunei bagi menghargai dedikasi serta pencapaian para atlet berkenaan selain menyuntik semangat mereka menjelang penyertaan di kejohanan berprestij.
Sebagai penaja utama Borneo Run Half Marathon 2024, BMW terus komited menyokong perkembangan sukan tempatan serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat. Majlis berkenaan bukan sahaja memberi penghormatan kepada pelari terbaik, bahkan mengeratkan ukhuwah sesama peserta.
Turut hadir ialah pihak Akif Management selaku penganjur Borneo Run Half Marathon yang menzahirkan sokongan berterusan serta menekankan kerjasama erat di antara BMW dan komuniti larian tempatan.
Pada majlis itu, para peserta menerima baju-T eksklusif Maraton BMW Berlin untuk dipakai semasa perlumbaan bersama bendera kebangsaan Brunei sebagai lambang semangat dan sokongan kepada negara.
Penyampaian telah disempurnakan oleh Pengurus Besar QAF Auto, Alisa Khoo yang turut menegaskan komitmen jenama berkenaan terha-dap para atlet.
“BMW sentiasa berdedikasi dalam memperkasa budaya sukan dalam masyarakat,” jelas Alisa Khoo. “Kami berbesar hati meraikan pelari tempatan dan mendoakan kejayaan mereka di Berlin. Pencapaian mereka merupakan bukti komitmen serta semangat komuniti kita.”


