Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mei- Penyelidik-penyelidik yang menyertai Ekspedisi Hutan ke Terumbu Karang Brunei Darussalam dialu-alukan dan diberikan penghargaan dalam Majlis Makan Malam yang berlangsung di Mangrove Paradise Resort baru-baru ini.
Ekspedisi yang diadakan bersempena dengan Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (MYCE) 2025, berlangsung selama seminggu bermula 19 hingga 25 Mei.
Ekspedisi itu dianjurkan oleh Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perikanan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Biodiversiti dan Alam Sekitar (IBER), Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Poni Group Sdn Bhd.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap KSSUP, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab. Turut hadir ialah para pesuruhjaya tinggi dan duta besar, timbalan setiausaha tetap KSSUP, Penolong Naib Canselor UBD, ketua pegawai eksekutif Poni Group Sdn Bhd dan ketua jabatan dari KSSUP serta para penyelidik.
Ekspedisi yang dijalankan di hutan paya bakau Pulau Selirong serta terumbu karang di sekitar perairan Pulau Pelong-Pelongan berkenaan mencerminkan komitmen bersama dalam usaha memperkukuhkan pemahaman saintifik dan pada masa yang sama melindungi biodiversiti.
Para penyelidik tempatan dan antarabangsa telah berkumpul bagi menyertai ekspedisi yang bermatlamat untuk meningkatkan kerjasama, berkongsi ilmu pengetahuan serta mengukuhkan jaringan antara para penyelidik dan pihak berkepentingan lain, bagi meneroka ekosistem, dari kanopi hutan hingga ke habitat terumbu karang yang kaya dengan kepelbagaian biologi.
Antara aktiviti penyelidikan lapangan yang dijalankan di hutan paya bakau Pulau Selirong ialah penilaian biodiversiti flora dan fauna, pengukuran parameter utama yang berkaitan dengan peranan hutan paya bakau dalam penyimpanan karbon serta fungsinya sebagai kawasan pembiakan penting bagi pelbagai spesies ikan dan hidupan marin lain.
Usaha itu juga dihasratkan untuk mengemaskini maklumat biodiversiti negara yang komprehensif bagi menyokong strategi dan usaha pemuliharaan yang berkesan untuk ekosistem hutan paya bakau.
Selain itu, kajian saintifik di Pulau Pelong-Pelongan akan menilai kehadiran dan jumlah mikro dan makroplastik dalam ekosistem terumbu karang. Penyelidikan itu dijangka akan dapat menyumbang kepada pengukuhan strategi pengurusan dan pemuliharaan marin negara serta menyokong matlamat kemampanan di peringkat serantau dan antarabangsa.
Penemuan daripada ekspedisi itu akan dibentangkan dalam Persidangan Hutan ke Terumbu Karang Brunei Darussalam yang dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 19 Jun di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.