Monday, October 21, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis Makan Malam Tahunan Perbadanan TAIB disambut meriah

    Oleh Lyna Mohamad –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (Perbadanan TAIB) telah mengadakan Majlis Makan Malam Tahunan sempena ulang tahun ke-33 penubuhannya di Indera Samudra Grand Hall, Empire Brunei, Jerudong.

    Hadir sebagai tetamu khas ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman, selaku Penasihat Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku Penasihat Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB.

    Turut hadir ialah Penolong Mufti Kerajaan (‘Ifta), Dato Seri Setia Dr Haji Dennie bin Haji Abdullah, selaku Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Syariah Perbadanan TAIB, ahli-ahli lembaga pengarah, Jawatankuasa Penasihat Syariah, serta pegawai-pegawai dan kakitangan Perbadanan TAIB dan anak syarikatnya seperti Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd, Darussalam Holdings Sdn Bhd dan TAIB Filling Station Sdn Bhd.

    Dalam pada itu, Pengarah Urusan Perbadanan TAIB, Datin Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim, dalam ucapannya menekankan komitmen teguh organisasi terhadap inovasi dan kecemerlangan serta mengucapkan penghargaan atas pencapaian organisasi baru-baru ini.

    Pencapaian itu termasuk menerima Anugerah Inisiatif Pembayaran Tahunan yang berprestij daripada Asian Banking and Finance, yang disifatkannya atas dedikasi Perbadanan TAIB untuk menyampaikan perkhidmatan peringkat teratas dan memacu pertumbuhan digital dengan berdaya tahan.

    Beliau turut menekankan kepentingan pensijilan PCI DSS organisasi, yang memastikan keselamatan data pelanggan mengikut piawaian antarabangsa.

    Pada malam tersebut, juara Kejohanan Sukan Antara Rumah Kumpulan Syarikat TAIB (TGOC) 2024 telah menerima trofi dan hadiah, yang menjadi kemuncak acara malam itu.

    Majlis tersebut turut meraikan pencapaian luar biasa pasukan terbaik dan mengiktiraf semangat kesukanan, kerjasama, serta dedikasi mereka sepanjang pertandingan.

    Turut memeriahkan acara ialah cabutan bertuah utama yang menawarkan hadiah menarik kepada para hadirin, sekali gus meningkatkan lagi suasana perayaan dan keakraban dalam komuniti Perbadanan TAIB.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew memotong kek pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara yang hadir semasa acara berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda