Majlis Makan Tahun Kg Tg Bunut meriah

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Majlis perundingan kampung dan penduduk Kampung Tanjung Bunut hari ini mengungkayahkan Majlis Makan Tahun Kampung Tanjung Bunut 2019 (MMTKTB) anjuran ahli Jawatankuasa MMTKTB di Taman Miaji, kampung tersebut.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof. Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah AI-Fatihah dipimpin oleh Haji Johar bin Haji Jumat, diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Tertinggi AJKT MMTKTB, Mejar (B) Haji Ismail bin Haji Jumat. Majlis bertujuan memelihara dan mengangkat warisan tradisi puak Kedayan iaitu satu daripada tujuh puak jati Brunei di negara ini yang tinggal di kampung-kampung luar bandar.

Majlis Makan Tahun ini sudah menjadi satu kelaziman dan diadakan sebaik sahaja selesai musim padi setiap tahun.

Majlis tersebut juga buat julung-julung kali disertai dengan kehadiran perwakilan dari kampung-kampung di negara jiran yang terdiri daripada Kampung Lawas, Keningau, Sibuti, Sipitang, Ranau dan lain-lain. Melalui Majlis Makan Tahun masyarakat Kedayan itu, penduduk kampung berkenaan telah berjaya mengangkat dan memelihara nilai-nilai murni bangsa Brunei seperti memucang-mucang, beaga-agaan, berjemaah dalam membuat kebajikan, berawar-galat, bersyukur atas nikmat, berhidang makan beramai-ramai dan sebagainya.

Di majlis tersebut, Yang Berhormat Pehin dan datin berkesempatan mengikuti acara memancing ikan di taman tersebut dan menyaksikan pameran serta menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan burung terbaik.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua berjaya menaikkan seekor ikan semasa aktiviti yang dijalankan pada Majlis Makan Tahun itu.