Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Jabatan Penjara telah mengadakan Majlis Maulid Akbar bersempena penubuhan jabatan berkenaan yang ke-71 tahun, yang diadakan di Dewan Silaturahim, Pusat Latihan Jabatan Penjara.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin. Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Guru Agama Institut Penjara Maraburong 3, Awang Muhd Yusri bin Othman.
Majlis turut diserikan dengan tazkirah khas yang disampaikan oleh dua orang penceramah iaitu Pegawai Hal Ehwal Jame‘ Asr Hassanil Bolkiah, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin; dan Penolong Kanan Profesor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Haji Harapandi Dahri.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati yang disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Penjara, Awang Bahrin bin Mohammad Yassin. Turut hadir ialah pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara.




