Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MAC – Kementerian Pendidikan tidak ketinggalan mengadakan Majlis Sambutan Memperingati Nuzul Al-Quran bagi peringkat Kementerian Pendidikan Tahun 1446/2025 yang berlangsung di Dewan Utama, Bangunan Baru Kementerian Pendidikan, kelmarin.
Majlis yang dikendalikan oleh Jabatan Perancangan dan Pengurusan Estet, Bahagian Komunikasi Korporat dan Unit Undang-undang berkenaan telah dihadiri oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.
Turut hadir, setiausaha-setiausaha tetap, naib-naib canselor, rektor, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan para pegawai serta kakitangan Kementerian Pendidikan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Pelajaran, Bahagian Kaunseling, Kementerian Pendidikan, Haji Sammali bin Haji Adam.
Acara kemudian diserikan dengan ceramah khas bertajuk Akal Sihat Berlandaskan Al-Quran, yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Tingkat Khas, Ketua Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Fansuri Sharimi @ Haji Mansur bin Mohamad Ali.
Acara itu merupakan salah satu aktiviti tahunan Kementerian Pendidikan dalam sama-sama memperingati peristiwa bersejarah berkenaan dengan turunnya ayat-ayat pertama kitab suci Al-Quran Al-Karim kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai wahyu daripada Allah SWT.
