Sunday, December 29, 2024
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis Mesyuarat Negara: Acuan Kebruneian

    Oleh Dr. Muhammad Hadi bin Md Melayong

    Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi, Melayu Islam Beraja

     

    PERSIDANGAN Dewan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) pertama dari musim permesyuaratan ketiga belas telah berlangsung pada 6 Mac lalu di mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat dan mengurniakan titah utama baginda yang bernas di Majlis Pembukaan Rasmi persidangan yang berlangsung di Dewan Majlis Mesyuarat Negara.

    Baginda berharap dengan pelantikan ahli-ahli baru, khususnya dengan keahlian dari golongan belia akan membawa kesan yang baik dan positif kepada persidangan ini. Baginda percaya bahawa melalui pelantikan ahli-ahli baru ini akan dapat menanai tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh ikhlas dan jujur serta bersikap terbuka dan bebas dalam memberikan apa jua pandangan mereka demi rakyat dan Negara Brunei Darussalam.

    Dalam persidangan inilah ahli-ahli Yang Berhormat akan berpeluang untuk membincang atau membahas isu-isu yang dianggap mustahak. Ia adalah saluran yang terbaik bagi menyuarakan apa jua pandangan dan pendapat dari rakyat serta penduduk negara berdasarkan kepada sistem politik ala Brunei berfalsafahkan konsep Melayu Islam Beraja (MIB). Ini merupakan salah satu ciri bentuk sistem demokrasi ala kebruneian yang di amalkan sejak lebih 100 tahun yang lalu. Dalam sistem pemerintahan beraja di Negara Brunei Darussalam yang menekan kepada permesyuaratan, perbincangan dan perundingan di Dewan Negara adalah bersandarkan kepada nilai-nilai MIB dalam mengeratkan dan mengukuhkan lagi hubungan rakyat dan kerajaan.

    Matlamat utamanya adalah bagi mengujudkan kemakmuran, kemajuan, keamanan dan keselamatan untuk kebahagiaan hidup dunia serta akhirat. Perkara ini telah dititahkan oleh Baginda Sultan pada setiap pembukaan rasmi MMN sejak 2004 selaras dengan teks pemasyhuran kewujudan Negara Brunei Darussalam melalui pembentukan kerajaan setelah pencapaian kemerdekaan:

    “…Negara Brunei Darussalam adalah dan dengan izin serta limpah kurnia Allah subhanahu wa taala untuk selama-lamanya kekal menjadi sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang Merdeka, Berdaulat dan Demokratik. Bersendikan kepada ajaran-ajaran agama Islam menurut Ahli Sunnah wal-Jama’ah dan dengan berasaskan keadilan, amanah dan kebebasan dengan petunjuk serta keredhaan Allah subhanahu wa taala jua akan sentiasa berusaha pada memperolehi ketenteraman dan keselamatan, kebajikan serta kebahagiaan bagi rakyat Beta. Demikian juga pemeliharaan perhubungan persahabatan di kalangan antarabangsa atas dasar saling menghormati terhadap kemerdekaan, kedaulatan, persamaan dan keutuhan wilayah bagi semua negara yang bebas daripada campur tangan luar negeri.”

    Di antara Ahli-Ahli Berhormat yang dilantik bagi menghadiri MNN pada 6 April 2017.
    Di antara Ahli-Ahli Berhormat yang dilantik bagi menghadiri MNN pada 6 April 2017.

    Selaras dengan tugas dan tanggung MMN, maka dalam titah perasmian MMN pertama dari musim permesyuaratan ketiga belas Baginda Sultan telah menitahkan supaya perbincangan MMN tahun ini lebih memfokuskan kepada isu-isu yang mustahak yang berkaitan dengan ekonomi. Ini memandangkan kepada keadaan ekonomi dunia yang kurang meyakinkan dengan turunnya harga minyak dunia yang mana dijangka berada pada paras yang sangat rendah. Makanya perlunya ada jalan alternatif untuk menghadapi masalah ini iaitu dengan mempergiatkan program dan perancangan untuk mempelbagaikan ekonomi negara. Di samping itu, kita jangan terlepas pandang kepada kaum belia dan remaja untuk dibentuk dan semai dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berkonsepkan MIB bagi persediaan untuk mencapai matlamat Wawasan Negara 2035 sebagaimana dalam teks penutupan titah Baginda di pembukaan MMN pada pagi tersebut:

    Menyentuh mengenai keperluan tenaga manusia, penyediaan asas ilmu pengetahuan adalah utama. Maka ke arah ini, pencapaian penuntut-penuntut dari peringkat sekolah rendah sehingga ke peringkat menengah adalah perlu untuk diberikan penekanan.  Maka untuk itu, agensi-agensi berkenaan, perlulah merangka perancangan yang ‘actionable’  dan realistik serta ‘cost-effective’, agar semua isu dapat ditangani secara berkesan dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

    Juga perlu diambil perhatian, bahawa pendidikan masa kini, tidak hanya terhad di bilik-bilik darjah sahaja, tetapi banyak ilmu, maklumat dan kemahiran boleh diperolehi melalui penggunaan teknologi internet, yang boleh diakses dengan mudah dan cepat.

    Namun dalam keghairahan memanfa’atkan teknologi canggih ini, kita juga dikehendaki supaya jangan lalai dari anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab, yang menggunakan teknologi untuk tujuan-tujuan keburukan, termasuk penggunaan media sosial untuk menyebarkan berita-berita palsu dan fitnah. Semua ini boleh mengundang kepada bencana.

    Beta berharap, semua pihak perlu turut menyedari dan mengambil perhatian serius mengenainya.

    Akhirnya, Beta berharap Persidangan Majlis Mesyuarat Negara tahun ini akan memberikan lebih tumpuan kepada perkara-perkara strategik untuk mengukuhkan lagi kemajuan sosio-ekonomi negara.

    Oleh itu, inilah amanah dan tanggungjawab ahli-ahli Yang Berhormat dalam memartabatkan MMN sebagai institusi yang dihormati dan sebagai saluran penyuaraan rakyat kepada pemerintah dalam sama-sama memikul tanggungjawab berkerajaan dan bermasyarakat melalui perbincangan di meja permesyuaratan.

    Inilah acuan kita, iaitu cara kebruneian yang berpegang kepada budaya, adat istiadat dan agama Islam dalam pertukaran buah fikiran dan tindak-tanduk yang mempunyai kualiti yang tinggi lagi dipelihara bahkan dipertingkatkan kualitinya berasaskan sifat-sifat orang Brunei yang kaya dengan sopan santun, tolong-menolong dan tolak ansur. Keanggotaan MMN yang terdiri dari terdiri daripada ahli dilantik kerana jawatan, ahli yang dikurniakan gelaran, ahli kerana kecemerlangan dan kejayaan, serta ahli mewakili daerah adalah lambang kesatuan dan penyatuan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

    Sistem politik ini adalah warisan tradisi Bangsa Brunei yang menjadi sumber kesejahteraan dan kemakmuran hidup rakyat dan negara. Daripada perspektif sejarah, sejak 21 Oktober 1959 hingga 12 Februari 1984, Majlis Mesyuarat Negara ini telah bersidang sebanyak 32 Musim Permesyuaratan. Majlis Mesyuarat Negara yang pertama bersidang pada 21 Oktober 1959 bertempat di Lapau, Bandar Brunei. Persidangan Majlis Mesyuarat Negara yang terakhir ialah Majlis Mesyuarat Negara ke-21 (Belanjawan) iaitu sebelum Brunei mencapai kemerdekaan penuh bertempat di Dewan Majlis, Bandar Seri Begawan. Tempoh keahlian Majlis Mesyuarat Negara ialah selama 5 tahun menurut Bab 55(2) dari Perlembagaan Negara Brunei Darussalam 1959. Berdasarkan kepada keadaan perkembangan politik dan ekonomi maka Perlembagaan Negeri Brunei 1959 telah dipinda pada tahun 2004 dan 2008 dan dikenali sebagai Perlembagaan Negara Brunei Darussalam.

    Dengan pindaan ini maka Majlis Mesyuarat Negeri telah dikenali sebagai Majlis Mesyuarat Negara yang telah dibubarkan oleh Sultan Brunei pada 13 Februari 1984 dan ditubuhkan semula pada 25 September 2004. Dalam perbukaan rasmi MMN Baginda Sultan telah bertitah bahawa pindaan ini sangat penting bagi mengukuhkan lagi institusi beraja dengan meningkatkan lagi keberkesanan hubungan rakyat dengan kerajaan, sebagai mana titah baginda:

    …perubahan-perubahan ini akan membolehkan kita dengan sebaik-baiknya melindungi dan memelihara kepentingan rakyat dan negara. Dengannya juga, dapatlah Beta memikirkan, bagaimana rakyat dengan pelbagai cara melibatkan diri dalam pembangunan Negara Brunei Darussalam.

    Sehubungan dengan ini pelantikan ahli Yang Berhormat sebagai ahli-ahli dalam MMN mempunyai tanggungjawab yang berat dan amanah yang perlu dilaksanakan dalam mewakili rakyat untuk disampai kepada pihak kerajaan. Inilah hubungan dua hala yang dimaksudkan bagi sama-sama memikul tugas dan kewajipan untuk membangun negara ini. Dalam hal ini Baginda Sultan telah mengingatkan supaya ahli-ahli Yang Berhormat dapat memberi pandangan dan idea yang bernas dalam sama membangun Negara ini dalam mencapai Wawasan Negara 2035`.

    Inilah juga hasil lakaran politik yang telah diperjuangkan oleh Almarhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, yang terus diamalkan dalam memeduli dan mengelinga keperluan dan kebajikan rakyat di negara sebagai kelangsungan dari pengenalan Sistem Residen British sejak zaman pemerintahan Sultan Muhammad Jamalul Alam Aqamaddin pada tahun 1907.

    Dalam ristaan sejarah Brunei, MMN pada awalnya dikenali sebagai Majlis Mesyuarat Negeri yang ditubuhkan apabila termeterainya Perjanjian persahabatan dengan Kerajaan British pada tahun 1905/1906. Mesyuarat MMN pertamanya telah diadakan pada 18 Jamadil awal 1325 hijrah bersamaan hari Sabtu, 29 June 1907.

    Mesyuarat pertama ini telah dipegerusikan oleh Almarhum Sultan Muhammad Jamalul Alam bin Almarhum Sultan Hashim Aqamaddin. Di antara ahli-ahli yang menganggotainya ialah Residen British, Pengiran Bendahara Permaisuara, Pengiran Pemancha, Pengiran Shahbandar, Pengiran Kerma Indera, Datu Perdana Menteri, dan Penolong British Resident.

    Manakala dua ahli yang tidak hadir dalam permesyuaratan pertama ini ialah Tuan Imam dan Orang Kaya Laksamana. Dalam mesyuarat pertama ini perkara yang dibincangkan adalah mengenai isu-isu kemasyarakatan dan kenegaraan khususnya mengenai bayaran ganti rugi tanah yang diambil milik oleh pihak Kerajaan.

    Oleh itu, MMN adalah teras kepada sistem demokrasi ala Brunei yang menjadi visi sultan-sultan Brunei yang mempunyai pandangan yang jauh dan luas untuk sama-sama memikul tanggungjawab dan amanah yang akan memberikan kehidupan yang sentiasa aman, makmur dan diredai Allah Subhanahu Wata’ala. Perkara ini telah pernah dititahkan oleh Almarhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien ketika merasmikan pembukaan Persidangan Majlis Mesyurat Negeri Brunei pada pagi 26 Ogos 1964:

    Adalah-lah menjadi hasrat Beta supaya semua orang2 Brunei akan memperolehi segala untok menyatakan pandaangan2 mereka sendiri terhadap perkara2 ini dan pendapat mereka menerusi wakil2 mereka yang dipileh. Dengan memikirkan hal2 ini, maka Beta telah memerentahkan Kerajaan Beta untok menyediakan shor2 yang sekarang berada dihadapan Mjlis Mesyuarat ini.

    Akhirnya-nya Beta mengucapkan moga2 keputusan yang dibuat oleh tuan2 akan mendapat menggunakan segala pengaroh tuan2 untok menjamin kerjasama yang sepenoh2nya dari raáyat2 Beta tentang rancangan2 yang di-shorkan oleh Kerajaan Beta.

    Kesimpulannya, MMN adalah satu-satunya saluran rasmi untuk rakyat menyuarakan segala pendapat dan pandangan mereka melalui ahli-ahli Yang Berhormat yang mewakili rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam. Ini bentuk dan acuan sistem politik Negara Melayu Islam Beraja sebagai asas mengeratkan dan mengukuhkan lagi hubungan antara pihak Kerajaan dan rakyat demi kestabilan politik, ekonomi dan sosial.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda