Saturday, May 10, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis mohon keberkatan, kelancaran ibadat haji

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MEI – Kementerian Pertahanan mengadakan Majlis Jiwa Murni, iaitu majlis penyampaian sumbangan kepada 73 orang bakal jemaah haji Kementerian Pertahanan bagi tahun 1446H/ 2025M yang berlangsung di Surau Ad-Difa’, Bolkiah Garison, hari ini.

    Para bakal jemaah haji tahun ini terdiri daripada 51 orang pegawai dan anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta 22 orang pegawai dan kakitangan awam yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara.

    Hadir bagi menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada bakal-bakal jemaah haji lelaki ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Manakala penyampaian sumbangan kepada bakal-bakal jemaah haji perempuan telah disempurnakan oleh isteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Datin Hajah Kalshom binti Haji Suhaili.

    Turut hadir di majlis berkenaan ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin; peringkat kepimpinan Kementerian Pertahanan bersama pasangan masing-masing, serta pegawai-pegawai dan warga Kementerian Pertahanan.

    Majlis tahun ini diserikan dengan penyampaian tazkirah bertajuk Natijah Haji Mabrurah yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Jabatanarah Agama, ABDB, Haji Mohammad Rif’at Atiyah bin Anwari.

    Bagi memberkati pemergian bakal-bakal jemaah haji ke Tanah Suci, majlis disempurnakan dengan Sembahyang Sunat Hajat dan Doa Selamat bagi memohon keberkatan Allah SWT supaya segala urusan mereka berjalan dengan sempurna, mendapat perlindungan dan dikurniakan haji yang mabrur.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi menyampaikan sumbangan kepada bakal jemaah haji pada majlis yang berlangsung di Surau Ad-Difa’, Bolkiah Garison, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Datin Hajah Kalshom menyampaikan sumbangan kepada bakal jemaah haji wanita. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda