Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 DIS – Sebagai penghargaan dan apresiasi kepada sasterawan-sasterawan tanah air, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Penyelidikan, Dokumentasi dan Pengiktirafan telah mengadakan Majlis Multaqa Sasterawan Islam Brunei: Adi Rumi di Balai Sarmayuda, DBP, Berakas, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Majlis berkenan merupakan projek tahunan DBP yang berperanan dalam memberikan penghargaan kepada penerima-penerima anugerah berprestij iaitu dimulakan dengan sasterawan yang telah diiktiraf sebagai penerima Anugerah Kesusasteraan Islam (AKI), kemudian penerima Anugerah Sastera Mastera (ASM) dan seterusnya, penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (The S.E.A. Write Award).
Ini merupakan tahun kedua majlis berkenaan diadakan sejak ia mula diungkayahkan pada 2019, yang mana multaqa pertama telah berjaya dilaksanakan pada 21 Ogos 2019 bagi menghargai Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Yahya bin Haji Ibrahim (Yahya M.S.) yang merupakan penerima AKI pada 2008.
Manakala itu, multaqa pada tahun ini diadakan bagi menghargai dan memberikan apresiasi kepada Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned atau lebih dikenali dengan nama Adi Rumi dalam dunia penulisan, kerana telah banyak menyumbang kepada perkembangan bahasa, sastera, agama dan budaya serta negara melalui penghasilan karya-karya sastera Islam yang unggul dan berkualiti.

Atas sumbangan tersebut, Adi Rumi diangkat sebagai penerima AKI pada 2013 oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan kerjasama DBP.
Majlis telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan Pengerusi oleh Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab, diikuti dengan tetamu kehormat majlis melancarkan dua buah buku kumpulan sajak terbaharu karya Adi Rumi iaitu Kumpulan Sajak Di Mana Pun Adalah Bumi Allah dan Kumpulan Sajak Datangmu Dirindui Pergimu Ditangisi.
Kemudian, majlis diteruskan dengan Bicara Ketokohan dan Pemikiran Adi Rumi yang disampaikan oleh Profesor Madya di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam, Profesor Madya Ampuan Dr Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah (Rahimi A.B).
Seterusnya, acara diikuti dengan seindah bicara daripada Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Yang Berhormat Mufti Kerajaan, diikuti dengan penyampaian cenderamata penghargaan kepada Yang Berhormat Mufti Kerajaan dan Rahimi A.B selaku pembicara. Adi Rumi merupakan nama yang tidak asing lagi dalam pentas penulisan dan kesusasteraan di Negara Brunei Darussalam.
Beliau juga telah banyak menghasilkan karya-karya sastera Islam yang unggul dan berkualiti sehingga sering meraih penghargaan dan pengiktirafan baik dalam negara mahupun luar negara.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara; Pemangku Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan Kebudayaan) di KKBS, Dayang Saidah binti Haji Wahid @ Burut; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di KKBS, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah; rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), timbalan mufti kerajaan, penerima-penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara, para pengarah dan timbalan pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan kerajaan, para pensyarah, penulis-penulis dan penggiat seni tanah air.