Majlis munajat mohon perlindungan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 DIS – Bagi memohon kelancaran dan kemudahan serta perlindungan Allah dalam pelaksanaan Fasa Awal Endemik di negara ini, Kelab Komuniti Belia Transformasi Pusat Belia Bandar Seri Begawan dan Gerakan Belia Tutong IMPAK telah menganjurkan Majlis Munajat Kasih Belia baru-baru ini.

Penganjuran program merupakan edisi yang kali keempat itu telah disertai oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, para pegawai kanan dan kakitangan kerajaan, kalangan pemimpin-pemimpin organisasi bukan kerajaan, para belia dan orang ramai.

Program tersebut dihasratkan menjadi satu landasan untuk mengukuhkan sinergi antara kedua-dua buah organisasi pergerakan belia selain mengajak dan menyatukan masyarakat Brunei bagi mengisikan masa dengan kegiatan keagamaan dan kerohanian.

Selain Doa Munajat dipanjatkan, majlis juga diisikan dengan bacaan Surah Yasin, Ratib Al-Attas, zikir dan selawat serta bacaan Doa Tawwakal beramai-ramai yang dipimpin oleh ahli-ahli organisasi berkenaan.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa menyertai Majlis Munajat Kasih Belia yang diadakan secara maya, baru-baru ini.