Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Hotel Mulia kini tampil dengan suasana baharu yang lebih segar dan moden menerusi pelancaran Moments, iaitu penjenamaan semula kafe yang sebelum ini dikenali sebagai Goldiana, selaras dengan perubahan cita rasa dan gaya hidup masa kini.
Pelancaran rasmi kafe tersebut diserikan dengan keberangkatan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.
Turut hadir bagi menyempurnakan majlis pelancaran ialah Pemilik Hotel Mulia, Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin dan Datin Chang Nyuk Kee, bersama Pengurus Besar Hotel Mulia, Jake Goh, Pengurus Hotel Brandon Tay, Pauline Goh dan Julia Huong.
Dengan wajah baharu yang lebih santai dan kontemporari, Moments kini menawarkan pelbagai sajian salad hijau segar yang disediakan khas untuk memenuhi cita rasa tetamu yang mengutamakan pilihan sihat dan moden.
Selain pilihan salad sebagai pembuka selera, kafe ini juga terkenal dengan hidangan pencuci mulutnya, antaranya pavlova yang telah lama menjadi kegemaran pengunjung setia hotel berkenaan.
Bagi mereka yang menggemari masakan tempatan, Moments turut menyajikan pelbagai pilihan hidangan Melayu, termasuk set istimewa ambuyat yang dihidangkan bersama pelbagai jenis masakan kampung berasaskan ikan, ayam, daging dan sayur-sayuran.
Moments juga sesuai untuk mereka yang ingin menikmati suasana santai bagi hidangan sarapan pagi, makan tengah hari atau makan malam, dengan waktu operasi bermula dari pukul 6:30 pagi hingga 10 malam setiap hari.