Tuesday, October 15, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis pengundian Penghulu Mukim Seria

    Oleh Nurdiyanah R.

    BELAIT, 28 MEI – Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Penghulu Mukim Seria, Daerah Belait telah berlangsung hari ini di Dewan Pejabat Daerah, Mukim Seria.

    Majlis tersebut dihadiri oleh Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad; Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Kampung Bukit Sawat, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah; dan Ketua Bahagian Daerah di KHEDN, Dayang Jaimah binti Tuah; Penolong Pegawai Daerah Belait; Pemangku Penghulu Mukim Seria, dan pemangku ketua-ketua kampung di Mukim Seria, Daerah Belait.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, Awang Akup bin Haji Lamat dan diteruskan dengan Pemangku Pegawai Daerah Belait memberikan ucapan alu-aluan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Daerah Belait hari ini, sesi pengundian telah diadakan dari 26 Mei hingga hari ini menggunakan kaedah kertas undi dan juga menggunakan aplikasi mudah alih e-Undi PMKK.

    Pegawai Pelajaran (Guru Besar) di Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Mohamad Zairul Halfi bin Talip, merupakan calon tunggal untuk jawatan Penghulu Mukim Seria. Beliau mempunyai ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Brunei Darussalam. Selain itu, beliau juga aktif dalam aktiviti keagamaan, kebeliaan, dan sukarelawan di dalam dan luar Mukim Seria.

    Seramai 228 penduduk mukim telah mengundi calon untuk mengisi kekosongan jawatan Penghulu Mukim Seria. Daripada jumlah tersebut, 44 orang (81 peratus) menggunakan aplikasi mudah alih e-Undi PMKK, manakala 184 orang (19 peratus) menggunakan kertas undi. Hasil pengundian menunjukkan bahawa 221 orang bersetuju, enam orang tidak bersetuju, dan satu undi dinyatakan rosak.

    Keputusan pengundian tersebut akan digunakan untuk menyediakan sokongan dan akan diserahkan kepada Lembaga Perjawatan, Disiplin, Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, KHEDN bagi proses seterusnya.

    Haji Amirol Hafidzin bergambar ramai bersama Penghulu Mukim Seria yang baharu dilantik dan para tetamu yang hadir pada majlis tersebut. – Gambar oleh Daniel Lim
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda