Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis penutup rasmi Perkhemahan Belia Berwawasan, Berani

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Perkhemahan Belia Berwawasan dan Berani selama tiga hari yang berakhir pada hari ini telah ditutup dengan majlis penutupan rasmi yang berlangsung di Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada peserta perkhemahan ialah Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Amir Hisham bin Haji Masri.

    Dalam majlis tersebut, Awang Mohammad Faiz Zayani bin Muhammad Firdausil Amin dan Dayang Abryana Syamimie binti Mohammad Khair masing-masing dipilih sebagai peserta terbaik lelaki dan perempuan.

    Perkhemahan itu menjadi platform terbaik kepada para peserta untuk meningkatkan jati diri dan menerapkan nilai-nilai keagamaan dalam kehidupan seharian.

    Sepanjang menjalani perkhemahan, peserta telah menyertai pelbagai aktiviti yang menjurus kepada pembentukan keyakinan dan mengukuhkan jati diri di samping mengembangkan minda positif para belia agar mempunyai wawasan masa depan yang dinamik.

    Perkhemahan yang dikendalikan oleh jawatankuasa takmir dan belia-beliawanis Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri itu adalah anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan telah disertai seramai 65 belia dan beliawanis masjid di Daerah Brunei dan Muara.

    Sebelum majlis penutup, peserta telah melangsungkan majlis khatam Al-Quran selepas melengkapkan bacaan 30 juzuk Al-Quran sepanjang berkhemah di masjid berkenaan.

    Salah seorang peserta menerima sijil perkhemahan daripada tetamu kehormat. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda