Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Super Museum AI Summit yang merupakan sebuah inisiatif kolaboratif di antara Universiti Teknologi Brunei (UTB) bersama Kedutaan Amerika Syarikat di Negara Brunei Darussalam, Universiti George Mason (GMU) dan Company E telah berakhir dengan majlis penutup yang berlangsung di Dewan Kuliah 2, Kompleks Perpustakaan UTB kelmarin.
Majlis berkenaan bermula dengan ucapan daripada Eksekutif dan Pengarah Artistik Bersama Company E, Paul Emerson dan diikuti dengan ucapan penutup daripada Penolong Naib Canselor (Hubungan Industri dan Luar) UTB, Dr Mohamad Saiful bin Haji Omar.
Pada majlis berkenaan, seramai 30 peserta yang berjaya menamatkan Kursus Virtual Brunei Initiative Game Design and Development telah menerima sijil tamat kursus yang disampaikan oleh Pemangku Timbalan Ketua Misi di Kedutaan Amerika Syarikat di Negara Brunei Darussalam, Rudy Washington bersama Profesor dan Pengarah, Program Rekaan Permainan Komputer, Pengarah Bersama, Virginia Serious Game Institute, Profesor Sang Nam.
Kursus berkenaan telah bermula dari 11 April hingga 20 Julai lalu.
Super Museum AI Summit merupakan sebuah platform bagi pertukaran ilmu pengetahuan, pembangunan kapasiti dan menggalakkan kerjasama yang akan terus memacu inovasi dalam industri kreatif Brunei.
